MUSTAPHA (depan, lima kanan) dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew (tengah) bersama penerima faedah skim Perlindungan PERKESO sempena Karnival Kerjaya Parlimen Sepanggar. FOTO Izwan Abdullah
MUSTAPHA (depan, lima kanan) dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew (tengah) bersama penerima faedah skim Perlindungan PERKESO sempena Karnival Kerjaya Parlimen Sepanggar. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan membawa lebih banyak Karnival Kerjaya anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ke universiti bagi memudahkan mahasiswa mencari kerja bermula tahun depan.

Timbalan menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu antara usaha KPT membantu mengurangkan kadar pengangguran belia dan graduan yang ketika ini mencecah 10.1 peratus keseluruhan negara.

"Antara yang kita akan buat ialah membawa karnival kerjaya ke universiti dan ia akan diurus oleh MPP (Majlis Perwakilan Pelajar) serta sukarelawan mahasiswa supaya mereka tahu bagaimana mengurus karnival kerjaya dengan kerjasama PERKESO.

"Kita beri pengalaman mengurus karnival kerjaya kepada mahasiswa supaya mereka boleh melihat potensi syarikat yang mereka panggil sendiri dan berinteraksi sendiri dengan syarikat atau industri," katanya selepas melancarkan Karnival Kerjaya Parlimen Sepanggar, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha KPT untuk mengatasi pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini.

Mustapha berkata, KPT juga akan memastikan kebolehpasaran graduan dan belia dapat ditingkatkan mulai tahun depan.

Sementara itu, sasaran utama KPT adalah untuk membantu menurunkan kadar pengangguran, terutama dalam kalangan belia dan graduan pada tahun depan, katanya.

Terdahulu, Pengarah PERKESO Sabah, Dr Mohd Ali Hindia berkata, 13,440 pencari kerja di Sabah mendapat pekerjaan melalui karnival kerjaya atau program anjuran agensi itu di seluruh Sabah sepanjang tahun ini.

Sementara itu, 500 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya Parlimen Sepanggar dengan hampir separuh daripadanya sudah dimohon oleh pencari kerja yang datang secara 'walk in' menjelang tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 4:58 PM