Ramli mengadakan sidang di sini hari ini berkaitan isu scam.   FOTO BERNAMA
Ramli mengadakan sidang di sini hari ini berkaitan isu scam. FOTO BERNAMA
Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Bina laman sesawang dan cipta graf pasaran saham palsu digunakan sebagai taktik untuk memperdayakan mangsa terutama warga India untuk melabur dalam skim pelaburan tidak wujud.

Bagaimanapun, taktik licik sindiket terbongkar apabila sepasukan anggota polis menyerbu sebuah pusat panggilan di ibu negara pada 7 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan itu, polis menahan tujuh individu termasuk dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

Menurutnya, mereka yang berusia 27 hingga 42 tahun juga terdiri tiga warga China dan seorang lelaki warga Taiwan.

"Suspek yang ditahan berperanan sebagai pengurus pejabat, pengurus sumber manusia, penterjemah skrip, pereka laman web dan pembantu pejabat.

"Turut dirampas 13 telefon bimbit, empat komputer riba, tiga set komputer, satu router, satu modem, dua tablet dan mata wang asing bernilai RM5,736 dan wang tunai RM3,855," katanya ketika sidang media, di sini, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit menawarkan skim pelaburan tidak wujud dan menggunakan platform pasaran crypto currency palsu dengan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat India.

"Ahli sindiket ini membina laman sesawang palsu dan mencipta graf pasaran saham palsu bagi tujuan memperdaya pelabur.

"Sindiket ini turut menterjemahkan 'skrip' penipuan yang pada asalnya dalam bahasa Cina kepada bahasa Inggeris dan seterusnya kepada bahasa Hindi untuk digunakan bagi memperdaya mangsa dalam kalangan rakyat India," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420, Seksyen 511 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 4:32 PM