SUSPEK yang ditahan menerusi Op Khas 66/23. FOTO Aswadi Alias
SUSPEK yang ditahan menerusi Op Khas 66/23. FOTO Aswadi Alias
Muhaamad Hafis Nawawi dan Suharmin Yusuf


Kuala Lumpur: Guna skrip tawaran kerja disediakan sindiket penipuan di komputer masing-masing sebelum memperdaya mangsa di Hong Kong dan Ireland.

Itu taktik pusat panggilan penipuan yang dibongkar polis melalui Op Khas 66/23 dengan penahanan 22 individu tempatan di Kajang yang terbabit sindiket penipuan tawaran kerja, 25 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, antara yang ditahan dalam operasi itu membabitkan 20 lelaki dan dua wanita dalam lingkungan usia 17 hingga 51 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket menggunakan modus operandi dengan menghubungi mangsa melalui skrip yang disediakan di dalam komputer masing-masing.

"Penawaran pakej pekerjaan yang dilakukan sindiket penipuan ini adalah melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

"Setiap mangsa yang berminat untuk 'bekerja' kemudiannya akan diminta untuk menyelesaikan tugasan tertentu iaitu membeli barangan dari laman web sopheouiso.com dan snappymob-user-work.com.

"Mangsa turut dijanjikan komisen berserta pulangan wang bagi setiap tugasan yang disiapkan namun mangsa hanya akan menerima komisen bagi tugasan awal sahaja," katanya pada sidang media hari ini.

Ramli berkata, mereka yang ditahan dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan 120B Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ramli berkata, semua ejen berkaitan sewaan dipertanggungjawabkan sebagai rakan dan boleh dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (penipuan) / 34 Kanun Keseksaan dan 109 Kanun Keseksaan (Bersubahat) manakala pemilik premis juga boleh dipertanggungjawabkan atas prinsip know your customer (mengenali pelanggan anda).

"Adalah diingatkan, PDRM akan mengambil semua tindakan yang perlu dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan pusat panggilan penipuan sebegini dapat dibanteras.

"Semua individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket ini termasuklah ejen serta pemilik premis akan disiasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 5:14 PM