MUHAMAD Syafiq Haziq (kanan) bersama ibunya, Rosmah selepas menerima ijazah pada Konvokesyen UMS Ke-25 di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
MUHAMAD Syafiq Haziq (kanan) bersama ibunya, Rosmah selepas menerima ijazah pada Konvokesyen UMS Ke-25 di Kota Kinabalu. FOTO Izwan Abdullah
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Luluh hati seorang anak apabila mendapat berita kematian ayahnya ketika menghadiri Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-25 di sini, semalam.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Matematik dan Ekonomi) Muhamad Syafiq Haziq Zamlus, 24, menerima khabar duka itu selepas tiba di sini pada Sabtu lalu.

Anak sulung daripada dua beradik dari Negeri Sembilan itu tiba awal di Sabah memandangkan dia menerima ijazah pada hari pertama konvokesyen, semalam.

Muhamad Syafiq yang ditemani ibunya, Rosmah Mahmad, tidak dapat menahan sebak sepanjang majlis konvokesyen berkenaan mengenangkan ayah yang sudah tiada, lebih-lebih lagi tidak sempat menatap wajah arwah untuk kali terakhir.

"Ayah meninggal dunia pada Sabtu lalu kira-kira jam 10 pagi selepas menerima panggilan dari hospital di Negeri Sembilan. Pada ketika itu saya dan ibu sudah berada di Sabah bagi menghadiri majlis konvokesyen.

"Saya sangat sedih dan kurang selesa tapi terpaksa teruskan juga kerana sudah di Sabah. Sepanjang majlis konvokesyen memang sebak kerana ayah pergi ketika saya di sini untuk menerima ijazah," katanya ditemui semalam.

Katanya, beliau hanya mengingati pesanan terakhir ayahnya sebelum ke Sabah pada minggu lalu yang mahu dia menghadiri konvokesyen itu walaupun tanpa kehadirannya.

"Ayah sebenarnya memang sudah lama sakit tapi boleh kawal lagi, hinggalah dia kena Covid-19 seminggu lalu. Masa itu dia tidak larat lagi, tapi dia tetap mahu kami pergi majlis ini," katanya.

Muhamad Syafiq menerima ijazah yang disampaikan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Md Mansur.

Terdahulu, suami isteri terharu diberi penghormatan mewakili arwah anak untuk menerima ijazah sarjana daripada Canselor UMS, Tun Juhar Mahiruddin pada sesi pertama Konvokesyen UMS Ke-25 semalam.

Rojaliah Hanti, 49 dan suami, Jee Rosly JD Awang, 55, dari Keningau, kehilangan anak, Syasya Najihah Jee Rosly, 28, yang meninggal dunia akibat kanser Januari lalu.

Arwah adalah pelajar Ijazah Sarjana Sains (Proses Ekologi) Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS yang diumumkan sebagai penerima ijazah sarjana secara anumerta.

Rojaliah berkata, arwah anaknya bersemangat untuk menghabiskan pengajian walaupun dalam keadaan terlantar sakit selepas dikesan mengidap kanser tahap akhir pada tahun lalu.

"Walaupun terlantar sakit dan dia tahu memang tiada harapan untuk sembuh seperti biasa, dia tetap teruskan pengajian dan alhamdulillah syukur, kami sekeluarga sangat bangga terutama apabila melihat semangat dia yang begitu kuat," katanya.

Seramai 4,236 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-25 yang bermula semalam hingga Khamis ini, masing-masing 106 penerima Ijazah Doktor Falsafah, diikuti Ijazah Sarjana (307 orang), Diploma Pasca (144 orang), Ijazah Sarjana Muda (3,617 orang) dan Diploma (62 orang).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 11:26 AM