Wan Shuhaimi bersama anaknya, Wan Raihan menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri Secara Anumerta yang diperoleh oleh Allayarham Wan Munirah (gambar kecil). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Wan Shuhaimi bersama anaknya, Wan Raihan menunjukkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri Secara Anumerta yang diperoleh oleh Allayarham Wan Munirah (gambar kecil). FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mohd Amin Jalil


“SAYA rasa seolah-olah dia ada bersama mengiringi naik ke pentas,” kata Wan Raihan Wan Shuhaimi, 29, mengambil Ijazah Anumerta mewakili Allahyarham adiknya pada Majlis Konvokesyen Ke-15 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, hari ini.

Wan Munirah yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri itu meninggal dunia pada Mac lalu ketika berusia 25 tahun, akibat jangkitan kuman di kepala.

Wan Raihan yang ditemani bapa Wan Shuhaimi Wan Daud, 58, berkata, dia menitiskan air mata sebaik melangkah naik ke pentas untuk mengambil ijazah milik adiknya itu.

Menurut Wan Raihan, pemergian arwah yang juga anak kedua daripada empat beradik itu terlalu cepat dan seluruh ahli keluarga amat merasai kehilangannya sehingga kini.

"Semuanya berlaku pada September tahun lalu apabila arwah tidak lancar bercakap dan menulis sebelum keadaannya semakin serius ketika menjalani latihan perubatan di Hospital Temerloh. Kemudiannya arwah tidak meneruskan pengajian sehinggalah dia meninggal dunia pada 16 Mac lalu.

"Arwah sangat positif meskipun menghidap penyakit itu dan bercita-cita mahu menjadi doktor. Sepatutnya arwah ada di sini bersama rakannya yang lain, tetapi Allah lebih sayangkannya," katanya.

Katanya, meskipun arwah tidak dapat sempat untuk menggenggam ijazah itu, namun mereka sekeluarga tetap menghadiri majlis konvokesyen berkenaan bagi memberi semangat dan meraikan kegembiraan rakan arwah yang lain.

Sementara itu, majlis itu turut menjadi kenangan terindah buat pasangan suami isteri Muhamad Asyraf Shaharuddin dan Noor Atikah Abd Rahman apabila dapat menamatkan pengajian bersama.

Pasangan berusia 25 tahun terbabit menerima Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri pada majlis konvokesyen berkenaan.

Muhamad Asyraf berkata, berkahwin awal ketika berada di tahun dua pada 2014, tidak menghalang mereka untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

"Perkahwinan ini membolehkan kami menguruskan masa dengan baik antara pengajian dan rumah tangga. Kami dapat berbincang mengenai kursus diambil walaupun ketika berada di rumah.

"Alhamdulillah, walaupun berkahwin di usia muda tetapi kami dapat saling bertolak ansur dan menguruskan anak-anak bersama serta tidak menjejaskan kehadiran di kelas," katanya yang mempunyai dua anak berusia sebulan dan dua tahun.

Majlis berkenaan disempurnakan Canselor USIM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Seramai 2,562 graduan menerima ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 6:39 PM