GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Faris Fuad


Klang: Suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun.

Khairul Hizwan Kamarudin, 32, dan Norehan Abu Kasim, 35, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Noridah Adam.

Pasangan itu masing-masing berdepan satu tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja terbabit dengan cara memegang anggota badan mangsa bagi tujuan seksual.

Pendakwaan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) yang membawa kepada hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa secara bersama melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menyebabkan mangsa memerhati perbuatan kedua-dua tertuduh yang bersifat seksual.

Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 15 (d) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Khairul Hizwan juga mengaku bersalah atas satu tuduhan menyimpan beberapa video lucah dalam telefon bimbit miliknya mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat pada 12 November dan 1 Disember lalu.

Susulan pengakuan bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad, tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan mangsa dan tertuduh menetap di kawasan perumahan sama, manakala pasangan terbabit yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan.

Hakim tidak membenarkan kedua-dua tertuduh itu diikat jamin dan menetapkan 5 Januari depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah kerana melakukan amang seksual fizikal dengan memeluk dan mencium pipi remaja perempuan berusia 13 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Maskuri Suharto, 71, ketika dalam perjalanan menuju ke sebuah stesen minyak di Jalan Batu Nilam 6, Bandar Bukit Tinggi, jam 10.30 malam, 1 Disember lalu mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK 2017.

Suriantiazila tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan keluarga mangsa adalah kenalan rapat tertuduh sejak 25 tahun lalu, manakala Maskuri yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan tidak bekerja dan sudah berusia.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 4:48 PM