SUAMI isteri dipenjara lima tahun kerana melakukan amang seksual terhadap remaja OKU. FOTO Faiz Anuar.
SUAMI isteri dipenjara lima tahun kerana melakukan amang seksual terhadap remaja OKU. FOTO Faiz Anuar.
Norzamira Che Noh


Klang: Suami isteri dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan amang seksual terhadap remaja orang kurang upaya (OKU) lembam, selain menyimpan video lucah, tahun lalu.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Khairul Hizwan Kamarudin, 33, dan Norehan Abu Kasim, 36, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Kedua-duanya dihukum penjara masing-masing lima tahun bagi kesalahan melakukan amang seksual dan penjara dua tahun kerana menyebabkan mangsa memerhati perbuatan tertuduh yang bersifat seksual.

Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara setahun kepada Khairul Hizwan kerana menyimpan video lucah dengan semua hukuman diarah berjalan serentak bermula tarikh pasangan itu ditangkap pada 1 Disember lalu.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15 (d) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Khairul Hizwan yang mengaku menyimpan video lucah turut didakwa mengikut Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat pada 12 November dan 1 Disember 2023.

Berdasarkan fakta kes, pasangan itu didakwa menghantar mesej WhatsApp kepada mangsa yang berusia 14 tahun, memintanya datang ke rumah untuk melipat pakaian pada 1.13 tengah hari, 12 November 2023.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul 'Izzati Mohamad manakala, tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 1:20 PM