Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Lelaki didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas 20 pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM34,585 sebagai dorongan membantu lapan syarikat pengangkutan lori daripada dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 2017.

Hakim Elesabet Paya Wan mengenakan denda itu terhadap tertuduh, Norsham Ahmad, 51, yang mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan pilihan itu.

Mengikut semua pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima suapan berjumlah RM34,585 daripada lapan syarikat menerusi pindahan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya dan seorang individu lain.

Suapan itu bagi mendorong pegawai JPJ Melaka untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori milik syarikat terbabit yang melakukan kesalahan membawa muatan berlebihan.

Dia tuduh mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Ashraf Mohamed Tahir berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi dan melakukan kesalahan sama.

Peguam Hafizatul Shahirah Jamari merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh hanya membantu isterinya berniaga secara kecik-kecilan dengan pendapatan tidak menentu antara RM100 hingga RM200 sehari dan perlu menanggung isteri, anak dan bapa mentua yang sakit.

Katanya, tertuduh yang hanya bersekolah Darjah 6 terpedaya dengan ajakan rakan-rakan di JPJ untuk melakukan kesalahan itu serta sudah insaf.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Elesabet mengenakan hukuman denda RM56,000 bagi semua 20 pertuduhan pilihan serta menetapkan tertuduh dipenjara antara sebulan hingga enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berikutan tertuduh mengaku bersalah atas 20 pertuduhan pilihan, mahkamah melepas tanpa membebaskannya (DNAA) daripada 23 pertuduhan lain selepas dipohon pihak pendakwan.

Tertuduh sebelum ini didakwa atas 47 pertuduhan utama mengikut Seksyen 16 (a) (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, jika disabitkan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, namun pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan hari ini dan dia mengaku bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 2:19 PM
NORSHAM didenda RM56,000 selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan pilihan terima suapan bantu syarikat lori yang melakukan kesalahan daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh JPJ. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
NORSHAM didenda RM56,000 selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan pilihan terima suapan bantu syarikat lori yang melakukan kesalahan daripada dikenakan tindakan undang-undang oleh JPJ. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad