Kenny diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO Muhamad Sulaiman
Kenny diiringi anggota polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. FOTO Muhamad Sulaiman
Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah menerima suapan berjumlah RM20,000 pada 7 April lalu.

Hakim Amran Jantan memerintahkan tertuduh, Kenny Chua Boon Meng, 35, turut dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh yang berkhidmat di pejabat SPRM Putrajaya meminta suapan daripada Muhamad Fazal Sulaiman, 36, dengan memperdayakannya iaitu dengan curang mendorong mangsa menyerahkan kepadanya wang tunai berjumlah RM20,000 untuk tidak mengambil tindakan lanjut terhadap fail tohmahan mangsa yang dibuka suruhanjaya berkenaan.

Perbuatan terbabit dilakukan di dalam kereta jenis Proton Persona di perkarangan luar bangunan Balai Bomba dan Penyelamat, Bandar Baru Bangi pada jam 12.55 tengahari, 7 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan dia boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman minimum lima tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 11:22 AM