Razarudin Husain
Razarudin Husain
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melengkapkan siasatan kes klip video membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusof, sebelum keputusan dibuat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan itu sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lalu.

Menurutnya, beberapa tindakan perlu diambil sebelum kertas siasatan berkenaan dirujuk semula selepas tindakan diambil.

"Tindakan itu termasuk laporan-laporan teknikal daripada agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi," katanya, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas berkaitan dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus, beliau berkata, siasatan adalah sama iaitu untuk mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak.

"Terdapat kertas siasatan lain dibuka berhubung situasi di Bintulu, Sarawak yang dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 377D Kanun Keseksaan

"Justeru, PDRM akan memanggil siapa saja yang boleh membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, keputusan sama ada tangkapan akan dibuat terhadap Mohammad Agus atau sebaliknya, bergantung kepada siasatan.

"Pada peringkat ini, polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mendapatkan bukti-bukti yang material kepada keterangan dan dakwaan yang dibuat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 1:19 PM