MOHD Shuhaily, gambar fail.  FOTO NSTP
MOHD Shuhaily, gambar fail. FOTO NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Individu dikenali Mr H akan direkodkan keterangan pada jam 5 petang ini bagi membantu siasatan kes panggilan video lucah yang tular dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan, namun enggan mendedahkan lokasi rakaman percakapan dibuat.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee menafikan dirinya Mr H.

Muhamad Hakim menafikan dakwaan penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa beliau adalah Mr H, selain menyifatkan tuduhan itu sangat berniat jahat.

Beliau juga mengakui masih menganggotai PKR, namun enggan mendedahkan perincian lanjut berhubung perkara itu.

Kelmarin, Mohammad Agus mendedahkan identiti 'Mr H' dalam keterangan kepada polis, selain membuat satu lagi laporan berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini, berkaitan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Media melaporkan polis menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan dua individu.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 3:33 PM