ZAINAB ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru. FOTO Mary Victoria Dass
ZAINAB ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: "Kami berdepan detik cemas apabila air naik sehingga hampir satu meter dengan arus deras di perkarangan rumah selepas hujan lebat berpanjangan," kata seorang penduduk, Zainab Mat, 57.

Zainab yang menetap di Kampung Sentosa Damai, di sini, berkata hujan bermula kira-kira 11 malam tadi dan berlarutan selama tiga jam mengakibatkan air dari sungai berhampiran melimpah.

Menurutnya, disebabkan keadaan tidak selamat, pasukan keselamatan turut mengarahkan penduduk berpindah ke surau berdekatan sebelum ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kampung ini.

"Sebelum berpindah, saya dan keluarga sempat menyimpan dokumen penting selain memindahkan pakaian dan beberapa perkakas rumah termasuk peti ais ke bahagian yang tinggi dalam rumah. 

"Begitu juga motosikal dan kereta sempat diletakkan di kawasan atas bukit dengan bantuan pasukan keselamatan. 

"Kami bersyukur dan berterima kasih kerana pasukan keselamatan pantas membantu penduduk berpindah serta menyelamatkan harta benda mangsa banjir," katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, di sini, hari ini.

Zainab berkata, dia antara seorang daripada 227 mangsa banjir membabitkan 80 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan kampung-kampung berdekatan yang dipindahkan ke PPS itu pada awal pagi semalam.

Ibu tunggal, Nurul Huda Abdul Rani, 57, berkata dia bersyukur kerana ketika hujan lebat tidak berlaku air pasang dari kawasan laut di Kong Kong yang boleh menyebabkan banjir bertambah teruk sehingga menenggelamkan rumah.

"Ketika melihat sudah hujan pada jam 10 malam tadi (kelmarin), saya menelefon anak lelaki yang sedang bekerja supaya balik ke rumah kerana tidak sedap hati. 

"Air mula naik hampir separuh meter atau separas lutut di bahagian dapur," katanya memaklumkan hanya bahagian dapur rumahnya dinaiki air kerana bahagian lain berada pada kedudukan tinggi selepas ditambak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tiram, Azizul Bachok berkata, beliau sudah merujuk permasalahan dihadapi mangsa banjir kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

"Saya menasihatkan semua penduduk berhati-hati dalam musim Monsun Timur Laut ini dan berharap tiada kejadian buruk berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2023 @ 4:28 PM