Audrey Dermawan & Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Empat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan gudang logistik dalam pembinaan di Batu Maung di sini, dipercayai tertimbus dalam bancuhan simen yang kini sudah mengeras.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji berkata, mangsa dipercayai tertimbus dalam lantai simen yang baru dibancuh kira-kira jam 9 malam dan mungkin sudah mengeras selepas 12 jam.

Katanya, ketika kejadian empat mangsa terbabit berada di tingkat bawah dan bancuhan simen di tingkat satu pada ketinggian 18 meter.

"Apabila berlaku runtuhan, simen yang dibancuh itu dikhuatiri menimpa semua mangsa dan kini selepas 12 jam berlalu kita khuatir simen mula mengeras," katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Menurut Zulfahmi, sehingga jam 1 tengah hari, pasukan penyelamat sedang berusaha mengalihkan rasuk utama seberat 33 tan dan sebanyak 60 hingga 70 tan sisa konkrit bersama besi sudah dikeluarkan daripada kawasan runtuhan dan masih mencari kaedah bagi mengeluarkan konkrit utama.

Dalam pada itu katanya, pihaknya mencuba pelbagai strategi bagi mengalihkan rasuk seberat 33 tan bagi membolehkan pasukan penyelamat mengeluarkan empat mangsa yang terperangkap itu.

Katanya, rasuk utama itu dipercayai memisahkan pasukan penyelamat dengan mangsa yang terperangkap di kawasan sebesar gelanggang bola tampar itu.

KERJA-KERJA mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas. FOTO BERNAMA
KERJA-KERJA mencari dan menyelamat mangsa tertimbus dalam runtuhan sebuah gudang logistik yang sedang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas. FOTO BERNAMA

Menurut Zulfahmi, jika dapat mengalihkan rasuk itu, usaha mengeluarkan mangsa mungkin lebih mudah.

"Pada mulanya kami fikir ia adalah misi yang mudah tetapi apabila kami cuba mengalihkan rasuk utama itu, terdapat pergerakan tanah yang dibimbangkan memburukkan lagi keadaan.

"Dengan bantuan daripada jurutera perunding, kami terpaksa mengubah strategi beberapa kali untuk mengalihkan rasuk itu.

"Kita tidak boleh jangka apa yang akan berlaku tetapi kita mengharapkan yang terbaik," katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad pada sidang media di lokasi mengesahkan tiga pekerja warga Bangladesh maut dan dua parah manakala empat lagi dikhuatiri tertimbus.

Beliau berkata polis yang menerima maklumat kira-kira 9.45 malam dimaklumkan terdapat 18 pekerja berada di lokasi tetapi sembilan daripada mereka telah keluar untuk solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.

Tapak binaan gudang logistik itu terletak di bahagian selatan Pulau Pinang dan bangunan itu adalah kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir dan gudang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 4:14 PM