TAYABUR Rahman (kanan) ditemani wakil syarikat pembinaan dikenali sebagai Nor hadir untuk proses pengecaman jenazah rakannya Saiful, 29,  di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO Danial Saad
TAYABUR Rahman (kanan) ditemani wakil syarikat pembinaan dikenali sebagai Nor hadir untuk proses pengecaman jenazah rakannya Saiful, 29, di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang di sini hari ini. FOTO Danial Saad
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Seorang daripada lelaki warga Bangladesh yang maut dalam insiden gudang logistik runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas dekat sini, semalam adalah pekerja binaan yang berpengalaman.

Malah, mangsa dikenali sebagai Saiful, 29, pernah bekerja di Terengganu dan Kuantan, Pahang kira-kira lima tahun, sebelum ini.

Wakil syarikat pembinaan yang hanya ingin dikenali sebagai Nor, 40-an berkata syarikatnya yang beribu pejabat di Puchong, Selangor bertanggungjawab menghantar sekumpulan pekerja termasuk Saiful di tapak binaan berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, hanya seorang daripada pekerja binaan yang maut dalam insiden itu berada di bawah seliaan syarikat mereka.

"Semua pekerja kami mempunyai permit bekerja yang sah, insurans selain mempunyai kad perakuan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

"Pada mulanya dia beritahu agak keberatan untuk datang bekerja di Pulau Pinang, tapi dia seorang pekerja yang baik, rajin dan tidak pernah membantah arahan yang diterima sepanjang lima tahun bekerja dengan kami.

"Cuma sebelum sebelum dihantar ke Batu Maung, arwah pesan dibelikan sunscreen (krim pelindung matahari)," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.

Nor berkata beliau sudah membuat pengecaman jenazah Saiful petang ini dan mendapati secara luaran tubuh mangsa berada dalam keadaan sempurna dan elok meskipun masih terdapat kesan-kesan pasir pada tubuh dan wajah mangsa.

Katanya, arwah yang belum berumah tangga adalah seorang anak yang bertanggungjawab dan mengirimkan wang belanja setiap bulan kepada keluarganya di Bangladesh.

Beliau berkata, pihak syarikat sudah menghubungi keluarga Saiful di Bangladesh dan akan menanggung segala kos pengurusan dan penghantaran jenazah ke negara asalnya.

"Bagaimanapun kami perlu ikut dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum boleh menghantar jenazah mangsa ke kampung halamannya," katanya.

Dalam kejadian pada 9.58 malam tadi, tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut selepas gudang logistik yang dalam pembinaan runtuh.

Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan oleh pihak bomba dan penyelamat dibantu agensi lain termasuk polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengesan empat lagi mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 6:16 PM