Samadi Ahmad


Putrajaya: Identiti 'Mr H' kekal misteri selepas individu yang dikaitkan dengan video perbualan lucah didakwa membabitkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, tidak muncul untuk memberi keterangan.

Lebih 20 petugas media yang menunggu kehadiran 'Mr H' di perkarangan Balai Polis Presint 11 di sini, sejak jam 4 petang pulang hampa selepas dimaklumkan individu itu tidak hadir.

Malah, menurut sumber sesi mengambil keterangan Mr H yang dijadualkan pada jam 5.30 petang tadi, ditangguhkan dan kemungkinan dilakukan esok, di lokasi lain.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata keterangan Mr H akan diambil di Balai Polis Presint 11, Putrajaya,

Katanya setakat ini seramai tiga saksi sudah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan beberapa saksi lain akan diambil keterangan dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan.

Malah, beliau memaklumkan polis masih belum menerima laporan daripada pembantu pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berkaitan video perbualan lucah dikaitkan dengannya.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Wahab mendakwa, diarah pegawai atasan yang digelarnya sebagai 'Mr H' untuk merakam perbualan bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Katanya, dia merakam perbualan video berkenaan, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Pengarah Bahagian Latih dan Pendidikan J-KOM, Muhamad Hakim Ramlee atau dikenali sebagai Ustaz Hakim Ramlee, pula dilaporkan menegaskan beliau bukan Mr H.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2023 @ 9:28 PM
SEBAHAGIAN wartawan, jurugambar dan jurukamera yang menunggu ketibaan 'Mr H' bagi membantu siasatan kes bekas Ketua Pengarah J-KOM yang dikatakan akan memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya.  FOTO Mohd Fadli Hamzah
SEBAHAGIAN wartawan, jurugambar dan jurukamera yang menunggu ketibaan 'Mr H' bagi membantu siasatan kes bekas Ketua Pengarah J-KOM yang dikatakan akan memberi keterangan di Balai Polis Presint 11, Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah