Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau yang dinaiki air akibat limpahan sungai berhampiran. FOTO Ihsan pembaca
Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Blau yang dinaiki air akibat limpahan sungai berhampiran. FOTO Ihsan pembaca
Ramli Ibrahim


JALAN Gua Musang-Lojing ditutup kepada kenderaan ringan sejak 6 petang tadi kerana sektor berdekatan Pos Blau, Lojing dinaiki air kurang setengah meter.

Air naik susulan hujan berterusan sejak beberapa jam.

Jurutera Jajahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang, Fadhlil Wafi Nordin berkata, kawasan itu dinaiki air sehingga 0.35 meter akibat limpahan sungai berhampiran.

“Ini kejadian kedua selepas awal tahun lalu dan laluan ditutup untuk kenderaan ringan.

“Tiada juga laluan alternatif buat pengguna sama ada ke Lojing atau dari Lojing menghala ke Gua Musang.

“Hujan masih berlarutan dan belum ada tanda air surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menasihati pengguna jalan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan dikeluarkan.

Selain laluan itu, jambatan Kampung Pulau Setelu yang menghubungkan laluan Gua Musang-Jeli turut ditutup sementara berikutan tenggelam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 9:42 PM