EMPAT lelaki warga Filipina ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Lahad Datu.
EMPAT lelaki warga Filipina ditahan selepas disyaki melakukan aktiviti mengebom ikan di perairan Lahad Datu.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat lelaki warga asing dan merampas dua bot selepas dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di 0.1 batu nautika kawasan Selatan Pantai Bangingod di sini, semalam.

Kedua-dua bot pam berkenaan ditahan oleh bot peronda APMM Lahad Datu melalui aduan awam, pada 1.40 tengah hari.

Pengarah Zon APMM Lahad Datu Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, hasil pemeriksaan dipercayai empat kru bot warga Filipina berusia 18 hingga 35 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, mereka juga didapati tidak memiliki lesen serta nombor pendaftaran yang sah.

"Turut dirampas dua buah enjin bot, satu penyauk ikan, lima ekor ikan disyaki hasil daripada bom dan sebotol bom ikan.

"Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Nik Mohd Rizam berkata, komuniti maritim terutama di negeri terbabit diingatkan supaya tidak melakukan aktiviti bom ikan kerana perbuatan itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah membawa kesan negatif kepada ekosistem akuatik dan juga membahayakan nyawa serta aktiviti menyelam.

"Zon APMM Lahad Datu memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan daerah ini supaya terus memberi kerjasama dengan melaporkan jika terdapat sebarang maklumat berkaitan kes berkenaan mahupun sebarang salah laku atau kegiatan jenayah di laut.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada APMM menerusi Pusat Operasi Lahad Datu di talian 089-885727 dan talian MERS 999 yang beroperssi 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 4:42 PM