ZAINAL Abas (dua dari kanan) akan menjalani pembedahan lanjut di HQE I, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APMM
ZAINAL Abas (dua dari kanan) akan menjalani pembedahan lanjut di HQE I, Kota Kinabalu. FOTO Ihsan APMM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua Bot Banggi 48, Zon Maritim Lahad Datu, Bintara Muda Maritim Zainal Abas Komel yang terbabit dalam insiden tembakan baru-baru ini, dijangka menjalani pembedahan lanjut di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu esok.

Pemangku Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Sabah dan Labuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak Abd Aziz berkata, pembedahan ini dilaksanakan bagi memastikan sama ada kornea mata anggotanya masih boleh berfungsi atau sebaliknya.

"Pemeriksaan awal perlu dilakukan terlebih dahulu oleh pakar mata bagi memastikan anggota berkenaan mendapat rehat secukupnya sebelum menjalani pembedahan berkenaan," katanya ketika melawat anggota berkenaan, hari ini.

Hadir sama pada sesi lawatan itu ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Negeri Siti Norhaini Osli serta Pegawai Memerintah KM Banggi, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi dan Pegawai Memerintah KM Memmon Leftenan Komander Muhamad Soleh Halim yang juga Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (Kesmar).

Sementara itu, Siti Norhaini yang juga Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan dan Eksesais berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan akan menjaga kebajikan anggota dan ahli keluarga Zainal Abas yang tiba di Kota Kinabalu sepanjang mereka berada di sini.

Pada 7 April lalu, dua anggota APMM Zon Lahad Datu cedera dalam kejadian berbalas tembakan di perairan Kunak.

Dalam kejadian jam 8.40 pagi itu, Bintara Muda Maritim Zainal Abad Komel, 45, cedera di mata kiri manakala seorang lagi kru bot, Laskar Kanan Maritim Prayrie De Cuella Jimin, 35, cedera di kedua belah tangan ketika sedang bergelut membalas tembakan dengan penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 7:08 PM