Abdul Wahab menunjukkan hotspot banjir seluruh negara. FOTO OMAR AHMAD.
Abdul Wahab menunjukkan hotspot banjir seluruh negara. FOTO OMAR AHMAD.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti 80 peratus pegawai dan anggotanya bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramalkan berlaku sehingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, hanya 20 peratus daripada 13,435 keanggotaan di seluruh negara dibenarkan cuti, namun bergantung kepada situasi banjir sesuatu kawasan.

"Kita tidak beku terus satu negara tapi kalau Johor lebih awal banjir (akan dibekukan cuti anggota) mengikut daerah, kalau daerah itu berlaku banjir, kita bekukan cuti.

"Kalau daerah itu perlukan bantuan dari daerah bersebelahan (cuti anggota bomba di daerah bersebelahan itu) akan dibekukan. Kalau perlu satu negeri, satu negeri kita bekukan.

"Sekiranya banjir besar berlaku seperti pada 2014, kita akan bekukan cuti anggota dan pegawai seluruh negara untuk bantu negeri terlibat banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JBPM Johor kepada 109 anggota dan pegawai di sebuah resort di Tanjung Puteri di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir dan Timbalan Pengarah JBPM Johor, Mohd Rizal Buang.

Menurut Abdul Wahab, bagi menghadapi musim MTL, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam di Batu Pahat Johor dijadikan 'Regional Forward Base' (RFB) membabitkan negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Manakala Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Terengganu pula akan menjadi tempat menggerakkan operasi sama bagi Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Semua aset logistik bomba ditempatkan di BBP itu kerana lokasinya strategik untuk memberi bantuan di tiga negeri tersebut.

"Kita mengenal pasti 5,648 lokasi titik panas banjir di seluruh negara. Sarawak mencatatkan kawasan tertinggi iaitu 1,066 diikuti Sabah (798); Pahang (750), Johor (745) dan Kelantan (617).

"Selain itu kita juga mengenal pasti kawasan berpotensi berlaku kepala air di 186 lokasi dan kawasan cerun kritikal pula 254 lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 3:44 PM