DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) sedang mendengar taklimat operasi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Kota Tinggi. FOTO Nurul Amanina Suhaini
DATUK Seri Mohammad Hamdan Wahid (kanan) sedang mendengar taklimat operasi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Kota Tinggi. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Kota Tinggi: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mempunyai keanggotaan mencukupi bagi menghadapi bencana banjir yang melanda enam negeri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, jumlah anggota dan pegawai agensi itu kini seramai 12,500 orang membabitkan 320 balai di seluruh negara.

Katanya, pihaknya akan menggerakkan anggota dari negeri yang tidak terjejas banjir seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perlis dan Kedah ke negeri yang dilanda bencana alam itu.

Katanya, selain menggerakkan aset dan sumber manusia di negeri yang terjejas, anggota di akademi bomba termasuk jurulatih mungkin akan digunakan bagi membantu di kawasan terjejas.

"Penempatan aset juga akan dibuat bagi negeri yang memerlukan contohnya aset di Melaka dan Negeri Sembilan dihantar ke Johor. Ini yang sudah kita (JBPM) aturkan sejak Oktober lalu.

"JBPM mempunyai 250 hingga 280 aset darat, 450 aset marin dan lima helikopter di seluruh negara bagi kegunaan perpindahan mangsa banjir yang dijangka berterusan sehingga Mac depan mengikut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)," katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, sekiranya bencana banjir bertambah buruk cuti anggota dan pegawai akan dibekukan.

"Hanya 10 ke 20 peratus sahaja anggota dan pegawai dibenarkan untuk mengambil cuti secara bergilir," katanya.

Katanya, JBPM turut bekerjasama dengan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada segi kekuatan dan bantuan aset.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 3:28 PM