Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Bangi: Seramai 35 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari golongan asnaf dan B40 menerima sumbangan komputer riba berserta pakej pelan data internet percuma selama setahun pada program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Affin Islamic-Virtue Education, Khamis lalu.

Pengerusi Affin Bank Berhad Datuk Agil Natt berkata, kerjasama bersama Harian Metro kali ini diharap dapat dimanfaatkan oleh pelajar untuk meningkatkan akses kepada kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta mempersiapkan diri dengan ilmu sebelum memasuki alam pekerjaan.

Beliau berkata, semua bidang kerjaya kini mengutamakan perkhidmatan digitalisasi untuk memenuhi keperluan pasaran semasa dengan perkhidmatan cekap dan pantas.

"Komputer riba satu peranti penting untuk pelajar menyiapkan kertas kerja dan menimba ilmu. Manfaatkan sumbangan komputer riba berserta data internet selama setahun untuk membolehkan kalian menjadi pelajar yang lebih produktif. Kami menyedari komputer riba sebagai alat keperluan pembelajaran untuk bergerak seiring dengan perkembangan digitalisasi. Maka, sumbangan 35 komputer riba ini bertepatan untuk memenuhi keperluan kebolehpasaran graduan dan bergerak seiring dengan era digitalisasi.

"Industri perbankan seperti Kumpulan Affin antara institusi yang memberi keutamaan kepada perkhidmatan digitalisasi kerana kami bank yang komited dalam menyediakan perkhidmatan terbaik, cekap dan pantas kepada semua pelanggan kami," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program TKHM Bersama Affin Islamic-Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba dan Data Internet di Bangunan Canselori, UKM.

Menurutnya, sumbangan itu juga daripada sumber zakat perniagaan Affin Islamic.

"Jumlah sumbangan zakat semenjak penubuhan Affin Islamic pada 2012 kepada institusi pendidikan adalah RM8 juta keseluruhannya. Manakala sumbangan Affin Islamic kepada UKM semenjak penubuhan Affin Islamic adalah RM410,000," katanya

Hadir sama pada program berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd yang juga Pengarang Kumpulan Berita Harian Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit, Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UKM Profesor Dr Norinsan Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Datuk Syed Mashafuddin Syed Badaruddin dan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan Affin Bank Berhad Abdul Malek Mohamed Said.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Safar Ahmad dan Pengarang Berita Kanan Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Ab Aziz.

Sementara itu, Husain dalam ucapannya berkata, tanggungjawab bagi memberi pendidikan sempurna kepada pelajar bukan hanya membabitkan pihak universiti dan Kementerian Pendidikan semata-mata, sebaliknya ia tanggungjawab semua pihak.

Beliau yang juga Pengerusi Projek TKHM mengharapkan sumbangan itu membantu memudahkan aktiviti pembelajaran pelajar, sekali gus menyuntik semangat supaya lebih gigih menimba ilmu seterusnya menamatkan pengajian dengan cemerlang.

"Kami di Harian Metro berbesar hati kerana sekali lagi diberi kepercayaan oleh Affin Bank dan Affin Islamic untuk menjayakan program virtue education ini buat kali kedua.

"Inisiatif seumpama ini berjaya kami laksanakan tahun lalu di mana sumbangan komputer riba dan data internet diagih kepada pelajar sekolah menengah di Melaka dan Negeri Sembilan," katanya.

Mengulas lanjut, Husain berkata, sejak 2007, program TKHM sentiasa mendapat sokongan dan kerjasama daripada rakan korporat dan agensi kerajaan.

"Terima kasih kepada badan korporat seperti Kumpulan Affin Bank yang tampil bekerjasama memastikan program Titipan Kasih Harian Metro terus bertahan dan lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat dibantu.

"Pelbagai bantuan yang kami berikan antaranya barang keperluan harian, tempat tinggal mahupun surau atau masjid, barangan elektrik serta perabot, keperluan persediaan ke sekolah, baju raya, majlis berbuka puasa, ibadah korban, bantuan sistem pertanian hidroponik, komputer riba, alat bantu mengajar seperti LCD projektor dan wang tunai.

"Sasaran kami golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama merangkumi anak yatim, ibu tunggal miskin, keluarga miskin, golongan asnaf, pusat tahfiz, pelajar sekolah dan universiti serta rumah kebajikan dan mangsa bencana alam," katanya.

Husain dalam pada itu memaklumkan, TKHM bersama Affin Islamic-Virtue Education selepas ini membabitkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Kita akan bekerjasama dengan UiTM membantu pelajar di sana. Kita akan pilih 35 orang juga dalam kalangan pelajar terutama pelajar baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 7:50 AM
PELAJAR bersama komputer riba yang disumbangkan pada Program TKHM bersama Affin Islamic-Virtue Education di Bangunan Canselori UKM. FOTO AIZUDDIN SAAD
PELAJAR bersama komputer riba yang disumbangkan pada Program TKHM bersama Affin Islamic-Virtue Education di Bangunan Canselori UKM. FOTO AIZUDDIN SAAD