ANTARA penerima komputer riba pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Affin Bank. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
ANTARA penerima komputer riba pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Affin Bank. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Tiada lebih menggembirakan bagi 25 pelajar asnaf di negeri ini apabila menerima komputer riba menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Islamic Bank Berhad hari ini.

Rata-rata mereka ceria dan tidak sabar untuk menggunakan peranti bersama pakej Internet percuma selama setahun itu.

Pelajar, Azyyanti Amira Jamil, 17, dari Merlimau berkata, bantuan komputer riba itu akan memudahkannya untuk belajar, termasuk mencari bahan rujukan di Internet serta mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Selama ini saya hanya guna telefon untuk belajar dalam talian, bukan saja data Internet agak terhad, malah skrinnya agak kecil berbanding komputer riba ini.

"Memang saya amat gembira dan lebih bersemangat hari ini untuk meningkatkan lagi pencapaian akademik selepas ini," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Zahiruddin itu.

Bapanya, Jamil Ariffin, 41, pula berterima kasih kepada pihak Harian Metro dan Affin Islamic Bank Berhad atas sumbangan komputer riba untuk anaknya.

"Nak beli sendiri komputer riba mungkin lambat lagi kerana kos mahal.

"Jadi saya bersyukur atas sumbangan ini yang meringankan beban perbelanjaan saya untuk membeli sendiri untuk anak.

"Insya-Allah saya akan pastikan anak memanfaatkan kemudahan komputer riba ini dan akan memantau penggunaannya," katanya.

Azyyanti Amira antara 25 pelajar berusia 15 hingga 17 tahun bertuah menerima komputer riba disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, hari ini.

Hadir sama Pengarah Perbankan Komuniti Affin Islamic Bank Berhad, Nazri Othman dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah JPN Melaka, Karim Tumin.

Sementara itu, Muhammad Yazid Haikal Mohd Najjib, 17, berkata, dia tidak menyangka mendapat komputer riba dan berjanji menjaganya dengan baik khusus untuk belajar.

"Saya terkejut apabila ayah beritahu pihak sekolah maklumkan nama saya terpilih dapat bantuan komputer riba pada Ahad lalu.

"Jadi saya memang teruja apatah lagi peranti ini satu keperluan masa kini dan dapat memudahkan saya untuk belajar dalam talian selepas ini.

"Di rumah kami ada komputer riba yang agak lama dan turut dikongsi bersama adik saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 4:05 PM