NUR Irish (kiri), Nur Syahira, Tan Kok Ang dan R. Shamini bersama komputer riba yang diterima pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Islamic-Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba Kepada Pelajar-Pelajar Asnaf di Negeri Sembilan di PPD Port Dickson. FOTO  Azrul Edham Mohd Aminuddin
NUR Irish (kiri), Nur Syahira, Tan Kok Ang dan R. Shamini bersama komputer riba yang diterima pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Islamic-Virtue Education: Sumbangan Komputer Riba Kepada Pelajar-Pelajar Asnaf di Negeri Sembilan di PPD Port Dickson. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Seramai 25 pelajar daripada keluarga asnaf bertekad menjadikan komputer riba diterima mereka menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) dengan kerjasama Affin Islamic Bank Berhad yang berlangsung di Dewan Seminar Pendeta Za'aba di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di sini, hari sebagai pemangkin kejayaan dalam pelajaran masing-masing.

Selain komputer riba, semua pelajar terbabit juga menerima sumbangan pakej pelan data internet daripada Digi selama setahun untuk memudahkan proses pembelajaran mereka.

Pelajar, Muhamad Shahrul Fahmi Mohd Sahabuldden, 16, berkata, dia teruja apabila dimaklumkan namanya tersenarai antara penerima sumbangan berupa komputer riba daripada Harian Metro.

"Saya seperti tidak percaya apabila cikgu beritahu terpilih menerima sumbangan. Ini besar nilainya, tentu ia (sumbangan) bangkitkan semangat untuk terus belajar demi masa depan saya dan keluarga.

"Terima kasih kepada Harian Metro, Affin Bank Islamic (Berhad) dan Digi yang menyumbang data selama setahun. Inilah sumbangan terbesar yang saya pernah terima daripada mana-mana pihak," katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baru Si Rusa.

R Shamini, 17, pelajar SMK Raja Jumaat pula berkata, dia gembira menerima sumbangan berkenaan kerana keluarganya tidak berkemampuan untuk membelikan komputer riba.

"Paling terkesan apabila mahu mengikuti program belajar secara dalam talian kerana telefon bimbit milik bapa saya tidak berapa baik. Saya kerap ketinggalan ketika belajar. Apabila cikgu cakap saya terima komputer riba, saya sangat gembira dan mahu (belajar bersungguh-sungguh) hingga berjaya dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Bagi Nur Irish Mohd Ridzuan, 16, pula menyifatkan hari ini adalah hari yang sangat membahagiakan kerana impiannya memiliki komputer riba menjadi kenyataan.

"Saya ada impian miliki komputer riba sendiri tetapi hajat itu terpaksa dipendamkan kerana ibu hanya mengambil upah membuat kuih dan tiada pendapatan tetap. Saya lebih kasihankan ibu, Jasni Alias, 40, yang setiap hari berusaha menambah pendapatan melalui jualan kuih.

"Sumbangan daripada Harian Metro, Affin Bank dan Digi ini pastinya menjadi pembakar semangat untuk terus belajar dan mengubah kehidupan kami dua beranak," katanya.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek TKHM Husain Jahit berkata, sumbangan berkenaan sudah tentu amat bermakna bagi membantu memudahkan pelajar berkenaan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian tanpa sebarang kekurangan akibat kekangan kewangan atau kesukaran hidup.

"Program ini (TKHM) sudah berjalan sejak 15 tahun lalu tetapi kali ini ia bersesuaian dengan kehendak masa kini iaitu sistem pembelajaran secara dalam talian yang mana ramai pelajar menghadapi masalah tiada komputer riba.

"Kami berharap usaha ini akan terus dikembangkan kepada lebih ramai golongan masyarakat yang memerlukan dan disertai lebih banyak syarikat korporat bagi meringankan beban keluarga dalam kesusahan," katanya.

Kerjasama AFFIN bersama Harian Metro antara cabang tanggungjawab sosial bank berkenaan memenuhi keperluan komuniti setempat dan 'Environmental, Social and Governance (ESG)'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 5:23 PM