JIM Negeri Johor menahan 18 warga Indonesia termasuk dua yang berstatus penduduk tetap dan pemastautin sementara selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan FOTO JIM Johor
JIM Negeri Johor menahan 18 warga Indonesia termasuk dua yang berstatus penduduk tetap dan pemastautin sementara selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan FOTO JIM Johor
Izz Laily Hussein


Pontian: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 18 warga Indonesia termasuk dua yang berstatus penduduk tetap dan pemastautin sementara selepas disyaki terbabit dengan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, semua mereka ditahan dalam Ops Serkap yang diadakan di daerah ini jam 11.45 malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu lagi taktik licin sindiket penyeludupan Pati yang menggunakan kenderaan persendirian bagi menjalankan kegiatan menyalahi undang-undang itu.

"Kita menahan 16 warga Indonesia terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 51 tahun dipercayai Pati yang akan dihantar pulang ke negara asal melalui lorong tikus.

"Turut ditahan seorang wanita warga Indonesia berstatus penduduk tetap dan seorang lelaki warga Indonesia berstatus pemastautin sementara berusia 32 dan 33 tahun yang dipercayai bertindak sebagai 'transporter'," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Baharuddin berkata, operasi yang dijalankan itu adalah hasil risikan bersama Bahagian Penguatkuasa JIM Johor dengan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian selama kira-kira dua minggu.

Katanya, sepanjang risikan, mereka berjaya mengenal pasti lokasi rumah transit bagi menempatkan Pati yang berniat untuk keluar dari negara ini melalui lorong tikus.

"Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyasarkan Pati yang disenarai hitam untuk masuk ke Malaysia dan Pati yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 untuk keluar dari Malaysia melalui pantai barat Johor.

"Sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM2,500 hingga RM3,500 untuk urusan perjalanan sehala," katanya.

Baharuddin berkata, hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan, pihaknya turut menyita dua kereta persendirian di bawah Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63 yang dipercayai digunakan oleh sindiket berkenaan untuk membawa Pati terbabit.

Katanya, semua yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63, manakala Seksyen 56(1)(d) akta sama bagi dua 'transporter' itu kerana melindungi mana-mana orang yang ia ketahui dan mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa orang itu bertindak berlawanan dengan akta berkenaan.

"Kita tidak akan berkompromi kepada apa jua bentuk kegiatan yang melanggar undang-undang dan akan sentiasa memastikan usaha membanteras sindiket berkaitan Pati dan aktiviti tidak berintegriti sentiasa dilaksanakan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi dan bersubahat dalam melindungi Pati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 4:05 PM