Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi. FOTO JIM NEGERI JOHOR
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi. FOTO JIM NEGERI JOHOR
Izz Laily Hussein

Johor Bahru : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 137 pendatang asing tanpa izin (Pati) di kawasan tapak pembinaan di Jaya Putra di sini, tengah malam tadi.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata, operasi pada 12.38 tengah malam itu diambil susulan maklumat awam berhubung kebanjiran penempatan warga asing di kawasan berkenaan yang mendatangkan kegusaran dan ketenteraman penduduk setempat.

"Dalam Ops Sapu itu, lebih 12 rumah kongsi yang dianggarkan terdapat melebihi 200 bilik diperiksa.

"Seramai 219 warga asing dan seorang warga tempatan diperiksa sebelum 137 daripadanya ditahan.

"Mereka yang ditahan itu membabitkan 17 wanita dan 81 lelaki warga Indonesia, 19 lelaki warga Bangladesh, dua wanita dan 14 lelaki warga Myanmar, seorang wanita dan seorang lelaki warga Vietnam serta dua lelaki warga Pakistan yang semuanya berusia dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun," katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, kesemua yang ditahan dalam operasi itu didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Katanya, seorang lelaki warga Indonesia pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana menggunakan atau memiliki pas lawatan sosial palsu.

Baharuddin berkata, semua tahanan itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pada masa sama, Baharuddin berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan lagi usaha penguatkuasaan di seluruh Johor bagi membanteras isu kebanjiran Pati di negeri itu.

"Semua majikan yang mendaftarkan Pati untuk program RTK 2.0 diminta segera menyelesaikan proses verifikasi bagi membolehkan proses urusan pengeluaran permit kerja sementara disempurnakan.

"Pati turut diseru untuk menyertai Program Repatriasi Migran yang bermula pada 1 Mac lalu dan akan berakhir pada 31 Disember nanti yang bertujuan membenarkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 10:57 AM