GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
BERNAMA

Putrajaya: Kaedah pengajaran secara amali yang terkandung dalam Modul Bimbingan (Mobim) Kementerian Pendidikan (KPM) membolehkan warga guru mendidik secara interaktif agar murid Tahun Satu didedahkan dengan konsep lebih praktikal.

Diperkenal pada Mac lalu, modul itu mengambil masa antara empat hingga lima bulan untuk dibangunkan dengan mengambil kira keperluan semasa dan kehendak murid meliputi panduan serta cadangan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang boleh disesuaikan dengan tahap penerimaan serta lokaliti murid.

Jurucakap Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM menerusi satu temu bual baru-baru ini berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 menyaksikan beberapa kekangan yang terpaksa dihadapi oleh guru, pelajar malah ibu bapa bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"Bila ibu bapa ikuti sesi PdPR bersama anak, kita terima maklum balas bahawa kandungan subjek itu 'berat' dan susah untuk diikuti.

"Jadi sebagai langkah jangka pendek, KPM perkenalkan Mobim iaitu bahan sokongan yang dihasil berdasarkan kepada kandungan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) (Semakan 2017)," katanya.

Sejak pelaksanaannya sehingga kini, beliau berkata, maklum balas yang diterima daripada guru amat positif serta memberangsangkan dan ada yang menyatakan bahawa ia memudah cara PdP dalam kelas manakala guru subjek lain yang menjadi guru ganti juga boleh menggunakan Mobim dengan mudah.

Mobim memfokus kepada empat subjek iaitu Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris (BI), Matematik dan Sains bagi murid Tahun Satu.

Mobim Sains dan Matematik turut disediakan dalam versi BI bagi kegunaan sekolah yang melaksanakan Program Dwibahasa (DLP), Bahasa Cina bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Bahasa Tamil bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Antara kaedah pengajaran yang diketengah menerusi Mobim ialah pendekatan Konkrit, Gambar dan Abstrak (CPA) bagi subjek Matematik, Visual, Audio, Kinestetik (VAK) bagi subjek BM dan BI manakala konsep penerokaan serta didik hibur digunakan bagi subjek Sains.

Beliau berkata, pendekatan CPA dan VAK, contohnya, bukanlah kaedah baharu kerana ia sememangnya telah dipelajari oleh warga pendidik ketika pengajian mereka.

"Jadi Mobim membugarkan kembali apa yang telah dipelajari selain menjadi pencetus idea kepada golongan guru untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok.

"Contohnya latihan pengiraan dijalankan dengan objek yang berada di sekeliling seperti menggunakan pen atau eksperimen sains ringkas dijalankan menggunakan kertas yang dimasukkan dalam bekas berisi air untuk mengajar tajuk penyerapan," katanya.

Jurucakap BPK itu berkata, KPM juga dalam rangka membangunkan modul sama bagi murid Tahun Dua dan Tahun Tiga yang dijangka mula digunakan pada Mac 2024 manakala bagi murid Tahap Dua pula, yang mengandungi subjek tambahan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), ia dijangka digunakan mulai April 2024.

Beliau berkata, Mobim juga akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan digunakan sebagai input Kurikulum Persekolahan 2027.

Kandungan Mobim boleh diperoleh menerusi https://repositori.bpk.moe-dl.edu.my/ atau melalui saluran YouTube BPK https://youtube.com/@bahagianpembangunankurikulum?feature=shared.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 8:08 AM