Norkhalid (kanan) menyerahkan modul asas 3M dan buku persediaan SPM kepada Mohd Roslen Ramli. Foto Ihsan UPSI
Norkhalid (kanan) menyerahkan modul asas 3M dan buku persediaan SPM kepada Mohd Roslen Ramli. Foto Ihsan UPSI
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyumbang sebanyak 190 modul asas membaca, menulis dan mengira (3M) dan buku persediaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk kegunaan banduan di Sekolah Integriti Kluang, Johor.

Sumbangan diserahkan kepada Penjara Kluang itu membabitkan 60 naskhah buku modul 3M, 80 modul latihan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik Sekolah Rendah serta 50 buku SPM bagi lima mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, UPSI sentiasa cakna merealisasikan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi agenda Memasyarakatkan Universiti (U4S) dan Agenda Empat dalam memacu kesejahteraan komuniti dengan menggiatkan sumbangan berbentuk 'beyond academics' kepada komuniti yang berkonsepkan 'educating communities'.

Menurutnya, melihat keperluan ke arah melestarikan pendidikan kebangsaan, UPSI melalui Program EmpowerNCER Akademik@Perak menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) tampil menyumbang modul 3M untuk kegunaan penghuni sekolah itu dalam menguasai kemahiran asas pembelajaran serta persediaan menghadapi SPM 2021.

"Sumbangan modul 3M yang dibangunkan UPSI diharapkan dapat membantu guru di Sekolah Integriti Kluang meningkatkan kualiti pendidikan tahanan dalam menguasai kemahiran itu serta membantu calon SPM 2021 dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

"Diharapkan dengan inisiatif ini secara tidak langsung membantu pelajar mendapatkan ilmu menggunakan bahan rujukan terbaik melalui program pendidikan sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan serta mengelakkan banduan muda tercicir dalam bidang pelajaran," katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI Prof Madya Dr Norkhalid Salimin merangkap penyelaras utama Program EmpowerNCER Akademik@Perak berkata, pembangunan modul 3M itu terdiri daripada 15 orang Ikon Alumni UPSI yang berpengalaman serta antara mereka pernah dinobat sebagai guru cemerlang.

"Selain itu, penyelidik ini adalah guru penggubal soalan SPM dan Guru Didik TV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadi pakar rujuk pendidikan di Malaysia.

"Modul yang digunakan adalah modul sama diterapkan untuk meningkatkan pencapaian pendidikan kemahiran 3M murid sekolah orang asli di 15 buah sekolah terpilih seluruh Perak.

"Bukan itu sahaja, program ini juga membabitkan 1,400 murid SPM di 22 buah sekolah menengah di Perak bagi 2021," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Kluang Mohd Roslen Ramli berkata, sekolah integriti itu adalah tunjang pendidikan di penjara untuk penghuni yang berusia antara 15 hingga 21 tahun.

"Bermula sejak 2008 terdapat lapan sekolah ditubuhkan bagi memberi peluang kedua kepada banduan muda memperbaiki diri dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah diri di seluruh Malaysia.

"Penyediaan pendidikan korektif kepada penghuni bukan sahaja memastikan tahap pendidikan mereka diperluaskan, malah memastikan mereka menikmati pemulihan bersepadu dan menghadiri pendidikan formal bagi menguasai kemahiran asas menulis, membaca dan mengira serta menduduki peperiksaan awam seperti SPM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 10:37 PM