GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lima individu termasuk dua warga asing ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua serbuan di Petaling, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, hasil serbuan itu, polis menahan dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 48 tahun.

"Dalam dua serbuan itu, kami merampas empat komputer riba, 11 telefon bimbit, dua router dan dua modem bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula menjalankan kegiatan sejak Mac lalu dengan menyasarkan mangsa dari China," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menyewa premis dengan kadar RM1,500 sebulan.

"Modus operandi sindiket ini adalah memperdaya mangsa bagi mendapat komisen untuk setiap tugasan yang disempurnakan.

"Semua suspek direman sehingga 6 September nanti mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Katanya, orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 3:14 PM