Gambar hiasan
Gambar hiasan
Oleh Asrol Awang


Kuantan: Seorang pengurus kewangan wanita kerugian RM89,560 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 34 tahun dan berasal dari daerah ini menerima tawaran itu melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan satu pekerjaan di Instagram pada 4 Februari lalu.

Katanya, mangsa hanya perlu 'follow' dan 'like page' yang menawarkan komisen RM5 bagi setiap satu like page yang diberikan.

"Berikutan itu, mangsa membuat tiga tugasan yang diberikan oleh suspek dan menerima RM590.

"Mangsa mula percaya dan membuat 10 pindahan wang kepada tujuh akaun bank yang berlainan.

"Mangsa menggunakan wang simpanan sendiri dan wang dipinjam daripada adiknya," katanya pada kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta masyarakat supaya mendapatkan maklumat terperinci seperti latar belakang syarikat yang menawarkan tawaran seperti itu selain semakan nombor akaun di https://semakmule.rmp.gov.my/

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2023 @ 2:24 PM