Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

Melaka: Polis Melaka menerima 48 laporan berkaitan penipuan tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM700,000 dalam tempoh 1 Januari hingga 16 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, penipuan berkenaan membabitkan tawaran kerja dari syarikat jualan dalam talian yang diiklankan menerusi media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram dan WhatsApp.

Beliau berkata, suspek penipuan juga menggunakan nama syarikat terkenal seperti Lazada dan Shopee bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

"Modus operandi penipuan berkenaan ialah suspek menawarkan kepada mangsa untuk menjadi ejen jualan, menaikkan 'rating' perniagaan dan membantu mempromosikan peniaga secara dalam talian.

"Mangsa akan ditawarkan komisen lumayan sebanyak lima hingga lapan peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sundra Rajan berkata, sindiket itu juga menawarkan kerja sebagai ejen pembelian yang berperanan membuat pembelian barangan dan mangsa akan diberi komisen sebanyak lapan peratus daripada harga barang yang dibayar.

Katanya, kebanyakan mangsa mula menyedari diperdaya oleh sindiket tawaran kerja tidak wujud apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima.

Sundra Rajan berkata, kes terbaru dilaporkan membabitkan seorang eksekutif perniagaan yang mengalami kerugian sebanyak RM8,000 akibat terpedaya dengan tawaran komisen sebanyak lapan peratus sebagai ejen pembelian barang di Facebook.

Beliau berkata, wanita berusia 23 tahun yang tinggal di Ayer Keroh di sini, membuat pembayaran berkenaan sebagai modal pembelian ke akaun yang diberikan suspek membabitkan transaksi sebanyak lima kali sejak 10 Ogos lalu.

"Menerusi tawaran kerja itu, mangsa berperanan menaikkan 'rating' peniaga kecil dengan membuat pembelian barang syarikat itu untuk mendapatkan komisen sebanyak lapan peratus namun sehingga laporan dibuat pada 13 Ogos lalu, mangsa masih belum menerima semula wang modal pembelian dan komisen yang dijanjikan," katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Keroh pada 13 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan tawaran kerja yang diiklankan di media sosial atau laman sesawang dan semak nombor telefon serta nombor akaun yang diragui di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum melakukan apa-apa transaksi agar tidak menjadi mangsa penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Ogos 2021 @ 11:36 AM