Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan dan melakukan jenayah pada waktu siang.

Itu modus operandi wanita warga Rohingya dan dua anak perempuannya yang dipercayai terbabit pecah rumah di sekitar daerah Kemaman sejak awal tahun lalu.

Selain itu, suspek berusia 33 tahun itu menggunakan dua anak perempuannya berumur 13 dan 14 tahun untuk menarik perhatian mangsa terutama warga emas yang tinggal sendirian sebelum melakukan jenayah.

Kegiatan tiga beranak itu terbongkar selepas mereka ditahan di Kampung Binjai, Kemaman kira-kira 7 petang kelmarin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang wanita yang memaklumkan rumahnya di Kampung Pengkalan Sir, Kemaman dipecah masuk kira-kira 1 petang kelmarin.

Beliau berkata, perbuatan tiga beranak itu berjaya dirakam kamera papan kemuka (dashcam) milik jiran mangsa yang membolehkan pihaknya mengesan dan mengekori suspek yang menaiki kenderaan jenis Volkswagen sehingga ke kawasan Kampung Binjai, Kemaman.

MAZLI (tengah) memeriksa barang rampasan kes pecah rumah susulan penahanan tiga beranak warga Rohingya. FOTO Ghazali Kori.
MAZLI (tengah) memeriksa barang rampasan kes pecah rumah susulan penahanan tiga beranak warga Rohingya. FOTO Ghazali Kori.

"Kenderaan jenis Volkswagen itu kemudian ditinggalkan di kawasan kampung dan hasil intipan selama tiga jam mendapati sebuah Perodua Kelisa berhenti berdekatan kenderaan pertama itu.

"Polis bertindak mengekori Perodua Kelisa itu dan suspek yang menyedari kehadiran anggota bertindak memecut sebelum kereta itu terbabas lalu melanggar sebatang pokok.

"Susulan penahanan mereka, kita merampas dua kereta, barang kemas, wang tunai, dua utas jam tangan, 10 beg pelbagai jenis dan dua bilah senjata tajam dengan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM100,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini.

Mazli berkata, suspek utama yang positif dadah jenis methamphetamine turut memiliki tiga rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki polis bagi kes pecah rumah di Johor.

Katanya, penahanan tiga suspek berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Kemaman dan satu di Johor selepas suspek mengaku melakukan jenayah itu sejak Januari lalu.

"Kita percaya ada lagi dalang lain yang bersama dengan tiga suspek ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu.

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 8:59 AM