GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Melvin Joni


CUBAAN lelaki untuk menggunakan wang kertas palsu RM100 di tapak pesta ria (Fun Fair) Siburan mengundang padah apabila dia ditahan polis, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya yang menerima maklumat berhubung kejadian itu kemudian datang ke lokasi.

“Hasil pemeriksaan ke atas wang kertas itu mendapati ia disyaki palsu.

“Tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dilakukan pada 10.40 malam di kedai makan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching, hari ini.

Menurutnya, wang kertas RM100 itu turut dirampas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

“Jika dituduh dan didapati bersalah, individu terbabit boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda.

“Suspek sudah direman selama lima hari untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, suspek terbabit sebelum itu datang ke tapak pesta ria itu pada 7.11 malam.

“Dia kemudian bermain permainan di sebuah gerai dan membayar menggunakan wang kertas bernilai RM100.

“Bagaimanapun, wanita yang juga peniaga gerai itu mengesyaki wang kertas itu adalah palsu dan berlaku pertengkaran antara dia dengan suspek.

“Wanita itu kemudian mengambil keputusan menghubungi Balai Polis Siburan,” katanya sambil menasihati masyarakat khususnya golongan peniaga agar berwaspada ketika melakukan transaksi membabitkan wang kertas supaya tidak menjadi mangsa penipuan wang palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 12:35 PM