PERALATAN yang digunakan suspek untuk menghasilkan duit palsu pelbagai nilai.
PERALATAN yang digunakan suspek untuk menghasilkan duit palsu pelbagai nilai.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Sepasang kekasih dikesan menjadikan sebuah unit pangsapuri sebagai ‘kilang’ mencetak duit palsu not RM10, RM20 dan RM100.

Difahamkan pasangan itu menggunakan peralatan mudah membabitkan komputer riba dan mesin pencetak menghasilkan wang kertas palsu yang digunakan untuk menyara hidup.

Kegiatan suspek dibongkar selepas rakan lelaki pasangan itu diberkas ketika menggunakan wang palsu dihasilkan di pasar malam Jalan Medan di Petaling Jaya di sini, Khamis lalu.

Sumber polis berkata, rakan suspek berusia 28 tahun itu cuba memperdaya peniaga pasar malam dengan membuat pembelian menggunakan wang tunai palsu RM100.

Menurutnya, peniaga pasar malam yang menggunakan alat pengesan wang palsu membongkar penipuan sebelum suspek ditahan dengan bantuan orang ramai.

“Susulan penahanan itu, suspek membawa kami ke sebuah pangsapuri di Mentari Court, di sini, yang dijadikan markas mencetak wang palsu itu.

“Polis menahan pasangan kekasih berusia 23 tahun di kediaman berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis merampas lebih 30 keping wang tunai palsu not RM10, RM20 dan RM100 di kediaman itu.

“Malah, polis menemui beberapa helai kertas baru dicetak imej not wang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui beberapa wang kertas palsu di dalam beg tangan suspek wanita terbabit dan ketiga-tiga suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Difahamkan pasangan itu aktif menjalankan kegiatan mencetak wang palsu menggunakan mesin pencetak sejak beberapa bulan lalu.

“Malah, suspek pernah menggunakan wang palsu untuk membeli kad prabayar tambah nilai sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, suspek melepaskan diri sebelum ini.

“Suspek dikesan menghasilkan wang palsu dengan menggunakan kertas mudah dikoyak selain tidak mempunyai ciri keselamatan seperti yang ada pada wang kertas asal.

“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan atas kesalahan membuat dan memiliki wang palsu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tiga suspek dan kes disiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 9:07 AM