AARON (dua dari kanan) diiringi Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (dua dari kiri) menerima sijil Malaysia Book of Records daripada wakil MBR, Edwin Yeoh Tiong Chin (kiri) sebagai pengiktirafan The Most Nasi Lemak Sold In a Day pada perasmian Penutup Program Food Unites: Ini Warisan Kita Edisi Nasi Lemak dengan tema ‘Makan Sama-Sama’ di I-City Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
AARON (dua dari kanan) diiringi Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (dua dari kiri) menerima sijil Malaysia Book of Records daripada wakil MBR, Edwin Yeoh Tiong Chin (kiri) sebagai pengiktirafan The Most Nasi Lemak Sold In a Day pada perasmian Penutup Program Food Unites: Ini Warisan Kita Edisi Nasi Lemak dengan tema ‘Makan Sama-Sama’ di I-City Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) berjaya menghimpunkan 11 gerai nasi lemak popular di Lembah Klang menerusi Program Food Unites: Ini Warisan Kita bertemakan 'Makan Sama-Sama' di I-City di sini.

Nasi Lemak Village Park, Nasi Lemak Suri 223, Nasi Lemak Warung Rindu Pak Ya, Nasi Lemak Chef Fauzey, Nasi Lemak Ru Yi Vegetarian, Nasi Lemak Ayob, Nasi Lemak BangSudu, Nasi Lemak Pak Nasser, Nasi Lemak Mok Teh, Nasi Lemak Akka dan Nasi Lemak Tamparuli antara 11 gerai yang mengambil bahagian dalam program itu.

Program yang berjaya mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai The most nasi lemak sold in a day itu disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

"Nasi lemak dilihat sebagai makanan ruji yang amat digemari oleh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum serta menjadi salah satu identiti makanan Malaysia yang terkenal dalam kalangan pelancong dari luar negara.

"Menerusi program ini, 11 gerai menonjolkan keunikan dan kreativiti masing masing dalam menghasilkan nasi lemak yang terbaik.

"Tema 'Makan Sama-Sama' simbolik kepada kebersamaan rakyat mencipta peluang untuk perhubungan antara warisan budaya yang berbeza di Malaysia serta membentuk pemahaman, sikap toleransi dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat," katanya.

PENIAGA menyiapkan tempahan nasi lemak pelanggan. FOTO Faiz Anuar
PENIAGA menyiapkan tempahan nasi lemak pelanggan. FOTO Faiz Anuar

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Program Food Unites: Ini Warisan Kita bertemakan Makan Sama-Sama Edisi Nasi Lemak di I-City di sini, petang kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha mengangkat identiti makanan Malaysia sebagai simbol khazanah warisan negara.

"Salah satu usaha itu adalah dengan menghantar pencalonan Budaya Sarapan Malaysia ke Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Saya berharap usaha seperti ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat khususnya dalam mengenali warisan melalui makanan, sekali gus mengiktiraf dan menghargai keunikan adat budaya warisan setiap kaum," katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari turut menyediakan pelbagai pengisian dan aktiviti menarik seperti Pertandingan Mewarna Perpaduan, Persembahan Uniti, Pertandingan Membungkus Nasi Lemak Daun Pisang, serta Jualan Food Truck.

PENGUNJUNG yang hadir menikmati hidangan nasi lemak bersama ahli keluarga. FOTO Faiz Anuar
PENGUNJUNG yang hadir menikmati hidangan nasi lemak bersama ahli keluarga. FOTO Faiz Anuar

Mengulas lanjut katanya, program Ini Warisan Kita yang dilancarkan pada Jun lalu adalah satu inisiatif kementerian untuk melestarikan warisan dan khazanah negara yang kaya merangkumi kepelbagaian adat dan budaya etnik serta kemajmukan dari segi kepercayaan dan latar bahasa.

"Program ini mengetengahkan elemen etnisiti, bahasa, permainan tradisi, kesenian, alat muzik, budaya dan adat resam serta kepelbagaian makanan warisan rakyat Malaysia," katanya.

Selain itu, katanya, kementerian turut melaksanakan Program Citarasa Menu KAMI yang menghimpunkan detik-detik perpaduan melalui variasi hidangan pilihan makanan rakyat Malaysia.

"Sebanyak tiga premis makanan di setiap negeri yang mencerminkan perpaduan akan diberikan sijil serta plak 'Citarasa Menu Kami'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 7:03 AM