SHEWETA bangga mewakili negara.
SHEWETA bangga mewakili negara.
Najiy Jefri


Kejelitaan dan keanggunan dimiliki dua ratu cantik negara, Sheweta Sekhon, 24, dan Francisca Luhong James, 25, ketika beraksi di pertandingan Miss Universe 2019 dan 2020 pastinya memberi sejuta pengalaman manis buat mereka.

Siapa sangka, dua figura yang terpilih mewakili negara ke acara berprestij itu dan secara tidak langsung menjadi duta kecil negara dalam memperkenalkan budaya warisan, kesenian dan sejarah tanah air di mata dunia.

Apa yang mengujakan, Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila Sheweta memenangi Kostum Kebangsaan Terbaik buat pertama kali dalam Miss Universe 2019 yang berlangsung di Atlanta, Amerika Syarika pada Disember 2019.

Pakaian rekaan pereka tempatan iaitu Carven Ong yang bertemakan A Peranakan Indulgence daripada kaum Baba dan Nyonya itu menewaskan 89 peserta lain di pertandingan ratu cantik nombor satu dunia itu.

"Saya sangat bertuah kerana diberi peluang memperkenalkan tradisi dan adat resam Peranakan yang kaya di Malaysia. Ia termasuk pakaian dan makanan tradisional.

"Detik itu dekat di hati saya kerana Malaysia berjaya memenangi salah satu anugerah di pentas Miss Universe. Kejayaan ini sememangnya satu peluang keemasan dan sangat berharga kerana saya berjaya menempatkan nama Malaysia di 'peta' Miss Universe," katanya.

Menurut Sheweta, Malaysia yang menyambut Hari Kemerdekaan ke-64, baru-baru ini sentiasa menjadi sebutan dalam kalangan ratu cantik seluruh dunia.

"Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan tradisi dan warna. Makanan di negara kita antara yang terbaik sekali.

"Malah, ramai kawan yang terdiri daripada Miss Universe 2019 bercadang untuk melancong ke sini untuk mengenali Malaysia dengan lebih dekat selain merasai keenakan makanan tempatan.

"Ramai yang bercakap mengenai nasi lemak dan negeri Melaka. Saya bangga kerana negara kita memang dikenali ramai sebagai sebuah negara yang kaya dengan sejarah, makanan dan tradisi selain rakyatnya yang selalu mengalu-alukan kehadiran orang asing," katanya.

SHEWETA dengan kostum bertemakan A Peranakan Indulgence ketika mewakili Malaysia di Miss Universe 2019 di Amerika Syarikat.
SHEWETA dengan kostum bertemakan A Peranakan Indulgence ketika mewakili Malaysia di Miss Universe 2019 di Amerika Syarikat.

Sementara itu, Francisca yang mewakili negara pada pertandingan Miss Universe 2020 di Florida, Amerika Syarikat, Mei lalu berkata, pengalaman sepanjang 13 hari merebut posisi terbaik dunia tidak akan pernah lenyap dalam ingatannya.

"Perjalanan sepanjang bertanding di Miss Universe 2020 adalah satu permulaan untuk saya memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

"Sebagai individu yang mencipta sejarah menjadi gadis Dayak pertama memenangi Miss Universe Malaysia, ia adalah satu peluang untuk saya berkongsi kekayaan budaya dan warisan yang dimiliki di tanah air terutama warisan di Sarawak.

"Malah di sebalik kelembutan dan sikap rendah diri yang dimiliki masyarakat di Malaysia, saya juga menekankan kepada mereka yang kita semua tidak pernah melupakan soal akademik, malah wanita di Malaysia juga mampu berdikari dan mengejar cita-cita yang diimpikan," katanya.

Walaupun kostum kebangsaan yang digayakannya terdapat masalah teknikal, namun Francisca mengakui kostum bertemakan Kampungku itu mendapat perhatian negara luar dan ratu cantik.


"Apabila saya berkongsi warisan dan budaya yang dimiliki di Sarawak, mereka sangat kagum. Begitu juga ketika saya berkongsi gambar salah satu mercu kebangsaan, Menara Berkembar Petronas (KLCC).

"Malah, ketika saya memperkenalkan diri saya sebagai wanita keturunan Dayak, mereka ingin kenali dengan lebih mendalam mengenai budaya dan kehidupan saya kerana ia sesuatu yang asing dan unik bagi mereka.

"Disebabkan itu ketika acara memperkenalkan kostum, ramai ratu cantik yang tertarik dengan 'props' yang saya bawakan di pentas Miss Universe 2020. Mereka ingin mengetahui tradisi di Malaysia," katanya.

Menurut Francisca, gelaran Miss Universe Malaysia 2020 yang digalasnya akan digunakan dengan sebaik mungkin untuk memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

"Apabila orang tanya dari mana saya datang, saya tak malu untuk beritahu saya dari Malaysia dan ingin berkongsi budaya warisan yang kita miliki.

"Malah ke mana saja negara yang bakal saya lawati nanti, saya akan selalu teringatkan Malaysia kerana negara inilah yang menjadikan siapa saya hari ini selain negara yang kaya dengan budaya warisan serta kesenian luhur dan beridentiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 7:01 AM