SYAIFULLAH bersama isteri berniaga di hadapan sebuah sekolah di Trenggalek. FOTO Ihsan Syaifullah
SYAIFULLAH bersama isteri berniaga di hadapan sebuah sekolah di Trenggalek. FOTO Ihsan Syaifullah
Muhamaad Razis dan Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Nasi lemak adalah sajian tradisi masyarakat yang menjadi pilihan hampir semua kaum di negara ini.

Bukan itu saja, keenakan nasi lemak ini turut menarik perhatian pelancong dan pekerja dari luar negara.

Bagi mereka hidangan ini memiliki keunikan tersendiri yang tidak boleh ditemui di tempat lain sehingga dikenali di luar negara.

Seorang warga Indonesia, Syaifullah, 29, atau lebih dikenali sebagai Epul yang pernah bekerja selama 10 tahun di Malaysia sangat tertarik dengan keenakan nasi lemak sehingga menjalankan perniagaan makanan itu di negaranya.

Dia turut menggunakan saluran YouTube Epul Indo M'sia yang mempunyai lebih 59,000 pengikut untuk memperkenalkan nasi lemak menerusi perniagaan dijalankan di Indonesia sehingga pernah mendapat 500,000 tontonan.

Selain itu, dia menjadi orang tengah untuk menyampaikan sedekah nasi lemak daripada puluhan warga Malaysia, Singapura, Brunei dan United Kingdom kepada masyarakat Indonesia pada setiap Khamis serta Jumaat.

Pada tahun lalu, sebanyak 2,604 bungkus nasi lemak yang diamanahkan berjaya diagihkan kepada pelbagai lapisan masyarakat di Indonesia.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, hidangan itu antara yang paling dirindui apabila pulang ke Trenggalek, Indonesia awal tahun lalu.

"Oleh kerana rindukan hidangan ini, pada September tahun lalu, saya dan isteri, Dyah Eka Septiani, 29, merancang menjalankan perniagaan nasi lemak di sini.

"Untuk mengekalkan keaslian nasi lemak Malaysia, saya menggunakan resipi yang dikongsikan seorang warga Malaysia melalui mesej di media sosial," katanya ketika dihubungi.

NASI lemak dengan resipi Malaysia. FOTO Ihsan Syaifullah
NASI lemak dengan resipi Malaysia. FOTO Ihsan Syaifullah

Menurutnya, pada hari pertama berniaga di hadapan sebuah sekolah, dia tidak menyangka jualannya mendapat sambutan sangat menggalakkan.

"Biarpun ramai yang masih tidak mengenali nasi lemak, dalam tempoh tidak sampai satu jam semua nasi lemak habis terjual.

"Rata-rata pelanggan, menyukai nasi lemak kerana rasa sambal bilis yang berbeza dengan nasi gurih yang sudah dikenali di sini. Boleh dikatakan ia kena dengan cita rasa masyarakat di sini," katanya.

Jelasnya, selepas sebulan berniaga, dia menerima permintaan daripada warga Malaysia untuk membeli nasi lemak untuk disedekahkan kepada masyarakat Indonesia.

"Sejak itu, kami menerima banyak permintaan untuk sampaikan sedekah dari luar Indonesia untuk diagihkan kepada masjid, pelajar tahfiz, anak yatim, tukang sapu dan pengayuh beca di sini.

"Biasanya untuk menyiapkan tempahan ini, saya dan isteri akan bangun seawal 2 pagi sebelum mula diagihkan selepas solat Subuh.

"Penderma ini cukup prihatin dengan masyarakat Indonesia yang dianggap seperti keluarga mereka sendiri seperti layanan yang saya terima ketika bekerja di sana (Malaysia)," katanya.

Katanya, biarpun baru beberapa bulan berniaga, kini dia dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan dalam masa terdekat berikutan sambutan menggalakkan.

"Insya-Allah, jika tiada halangan saya mahu memiliki kedai makan sendiri dan perkenalkan hidangan dari Malaysia yang lain termasuk nasi kerabu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 8:01 AM