Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Kewujudan sampah sarap di Sungai Skudai bukan sahaja mencemarkan pemandangan malah turut memberi kesan negatif kepada nelayan di sepanjang jajaran sungai itu.

Ahli Persatuan Nelayan Taman Tampoi Utama, Rosli Esa, 53, berkata, hampir setiap masa, kecuali ketika air surut, kelihatan sampah di permukaan sungai dihanyutkan arus.

Katanya, sampah dari lembangan anak sungai berhampiran akan mengalir ke sungai utama dalam kuantiti besar, terutama ketika air pasang besar.

"Pelbagai jenis sampah boleh dilihat seperti botol plastik minuman, beg plastik, polisterin dan gabus. Setiap masa, bertali arus sampah dihanyutkan hingga ke perangkap sampah berdekatan jambatan Danga Bay.

"Sampah-sarap ini, jika hanyut dalam kuantiti besar, akan memberi kesan kepada bot nelayan yang ditambat di tebing sungai sepanjang Sungai Skudai.

"Sampah seperti beg plastik atau tali akan tersangkut pada kipas bot, seterusnya merosakkan enjin bot kami.

"Kos membaikpulih enjin bot bukan murah, ia menelan hingga ribuan ringgit. Pada masa sama, nelayan juga tidak dapat turun ke laut mencari rezeki," katanya ditemui di Jeti Nelayan Taman Tampoi Utama di sini, hari ini.

Sampah sarap yang hanyut dan tersangkut di Jeti Nelayan di tebing Sungai Skudai. FOTO OMAR AHMAD
Sampah sarap yang hanyut dan tersangkut di Jeti Nelayan di tebing Sungai Skudai. FOTO OMAR AHMAD

Menurut Rosli, pada masa sama, ada bot yang ditambat turut hanyut selepas 'dibawa' sampah-sarap yang hanyut dalam kuantiti besar.

Katanya, ia sudah banyak kali berlaku, terutama ketika hujan lebat selain air pasang.

"Sampah yang banyak juga boleh menyebabkan tali bot nelayan terputus.

"Ketika air pasang, celahan bot nelayan turut dipenuhi sampah. Nelayan pula menggunakan kayu untuk menolak sampah," katanya yang sudah 15 tahun menjadi nelayan.

Kelmarin, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan, 14 batang sungai di Johor dikategorikan sebagai sungai paling tercemar.

Antaranya Sungai Kempas, Sungai Buluh, Sungai Tampoi dan Sungai Pandan.

Onn Hafiz turut meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkenaan untuk mewujudkan pasukan khas dan rangka kerja dalam menangani isu sungai tercemar di Johor secepat mungkin.

Dalam pada itu, Pengarah JAS Johor Dr Mohd Famey Yusoff ketika dihubungi berkata, pasukan khas berkaitan akan diwujudkan segera sebagaimana arahan Onn Hafiz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2023 @ 12:40 PM