Khairulmizan Yahya


Kuantan: Musim tengkujuh kali ini menguji seorang nelayan yang juga pengusaha bot sewa di Sungai Balok, di sini, apabila dia bukan sahaja tidak dapat keluar mencari rezeki, malah dua bot gentian kaca miliknya pula karam di sungai terbabit.

Mat Sokri Khalib, 55, berkata kejadian berlaku pada malam Ahad lalu apabila dua daripada tiga bot gentian kaca miliknya yang dilabuhkan di jeti sungai itu tenggelam dipercayai akibat paras sungai naik mendadak.

"Saya hanya menyedari kejadian pada 6 pagi Isnin lalu ketika datang menjenguk keadaan bot di jeti, namun terkejut apabila melihat kedua bot saya sudah tenggelam dan hanya muncung bot yang kelihatan," katanya yang tinggal di Sungai Karang, di sini.

Katanya, hujan lebat pada malam kejadian selain air laut pasang menyebabkan paras sungai naik mendadak dan kemungkinan botnya tersangkut pada tiang pancang sekali gus menyebabkannya tenggelam.

"Sebuah bot sudah berjaya diselamatkan dan bernasib baik bot terbabit serta enjin sangkut tidak mengalami kerosakan, namun beberapa peralatan elektronik dan kelengkapan lain rosak serta hanyut dibawa arus.

Bot gentian kaca milik Mat Sokri yang karam sejak Ahad lalu di jeti nelayan Sungai Balok, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA
Bot gentian kaca milik Mat Sokri yang karam sejak Ahad lalu di jeti nelayan Sungai Balok, Kuantan. FOTO KHAIRULMIZAN YAHYA

"Manakala sebuah lagi bot masih tenggelam dan semalam saya dibantu beberapa rakan berjaya tarik bot itu ke tebing dan mengikatnya dengan tong untuk menimbulkannya semula.

"Sekarang hanya menunggu air sungai surut sebelum boleh membuang air untuk membolehkan bot berkenaan timbul semula, namun enjin sangkut pada bot berkenaan serta beberapa peralatan elektronik lain sudah rosak," katanya.

Katanya, ini adalah kejadian kali kedua dialaminya apabila sebuah bot miliknya pernah karam pada tahun lalu menyebabkannya kerugian kira-kira RM40,000 manakala pada kejadian kali ini, kerugian dianggarkan lebih RM35,000.

"Walaupun sedih, saya reda dengan musibah yang menimpa ini kerana walaupun kami sudah berjaga-jaga tetapi malang tidak berbau," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 2:19 PM