KERJA mengambil sampel air sungai yang tercemar dijalankan Bahagian Kejuruteraan Alam Sekitar dan Kelestarian UTM.
KERJA mengambil sampel air sungai yang tercemar dijalankan Bahagian Kejuruteraan Alam Sekitar dan Kelestarian UTM.
Oleh Nurul Husna Mahmud dan Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

Kuala Lumpur: Secara keseluruhan di Johor, kebanyakan sungai adalah dalam kategori III iaitu separa tercemar serta memerlukan mitigasi kawalan punca pencemaran.

Pengarah Kelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai Prof Mohd Fadhil Md Din berkata, dapatan itu hasil kajian kualiti sungai bermula 2001 hingga kini.

Kata Mohd Fadhil, kebanyakan projek pemulihan dan pemeliharaan sungai tertumpu di Sungai Skudai, Sungai Melana, Sungai Johor dan Sungai Perling.

Ia juga membabitkan beberapa sungai dalam bandar sekitar Kulai, Kota Tinggi dan beberapa daerah di Batu Pahat serta Muar.

Mohd Fadhil yang juga Profesor Kejuruteraan Alam sekitar dan Kelestarian UTM berkata, kajian kualiti sungai bermula 2001 hingga kini itu turut membabitkan persampelan sungai sehingga ke 200 tapak kajian dari kawasan yang dinyatakan.

"Cerapan sungai yang dibuat adalah berdasarkan keperluan semasa iaitu untuk menguji bahan cemar (secara langsung atau tidak) yang masuk melalui aliran parit ataupun anak sungai.

"Kebanyakan kajian fokus kepada ciri-ciri utama kualiti air sungai berdasarkan kriteria fizikal, kimia dan biologi. Ia membantu penilaian awal petunjuk serta faktor yang menyebabkan kacau ganggu pencemaran dalam sungai," katanya.

Menurut Mohd Fadhil, 20 hingga 30 peratus sungai di sekitar Johor Bahru dan Kulai dikategorikan sebagai tercemar (kategori III) dan 10 peratus daripada stesen yang dikaji menunjukkan tahap tercemar teruk (kategori IV) serta memerlukan pemuliharaan segera menerusi mitigasi tambahan daripada beban pencemaran.

Mohd Fadhil berkata, terdapat beberapa anak sungai di Johor yang masih baik daripada aspek kualiti (kategori II).

Kata Mohd Fadhil, isu ini cuba dikekalkan secara konsisten menerusi pengurangan beban pencemaran di stesen lokasi yang dicerap seperti Sungai Serai di Ulu Tiram dan anak sungai.

Menurut beliau, mana-mana kategori II dan III adalah merujuk kepada tahap kualiti air sungai yang selamat serta sesuai untuk hidupan termasuk ikan selain kepelbagaian biologi dalam sungai.

"Tahap air sungai kategori IV dan V merujuk kepada klasifikasi sungai yang tercemar dan sangat tercemar, termasuk sensitiviti kepada sentuhan langsung kepada manusia bagi kategori V.

"Ini kerana, pada tahap itu, kandungan bakteria adalah melebihi 10,000 cfu/100 mL dan boleh menjejaskan kesihatan serta boleh mengakibatkan sungai berada pada tahap sukar dipulihkan secara semulajadi," katanya.

Menurut Mohd Fadhil, kebanyakan petunjuk klasifikasi sungai tertumpu kepada bahan cemar organik, biologi dan logam berat.

Bagaimanapun, kata beliau, kajian perlu memasukkan parameter seperti mikroplastik serta bahan kimia untuk menentukan tahap keselamatan kepada hidupan air.

Contoh, kata Mohd Fadhil, bahan kimia sisa industri, racun daripada aktiviti pertanian dan penternakan perlu diuji bagi menentukan keselamatan air.

"Ada beberapa lembangan sungai dalam pemerhatian dan pengurusan kualiti sungai seperti Sungai Skudai, Sungai Tebrau dan Sungai Johor.

"Usaha pemulihan ini dijalankan secara berperingkat kerana ia membabitkan kos tinggi terutama dalam mengurangkan baki serta tambahan pencemaran yang masuk daripada loji kumbahan dan aliran tidak berpunca hasil daripada kes pengubahsuaian sistem pelepasan sisa secara haram," katanya.

Kata beliau, ada juga isu pemeliharaan secara berkala yang tidak ditangani secara konsisten dan tahap pencemaran ini kekal pada tahap IV.

Menurut Mohd Fadhil, kualiti sungai yang berada pada tahap V memerlukan jangkamasa sehingga satu tahun untuk pemulihan.

Katanya, kajian pencemaran berdasarkan beban maksimum harian (TMDL) perlu dikhususkan untuk tujuan pelarasan dan pembangunan baru di kawasan lembangan sungai yang dikaji.

"Kaedah ini akan membantu mempercepatkan pemuliharaan lebih cepat daripada yang dijangkakan," katanya.

Menurut beliau, ada dua kaedah pengujian iaitu kaedah in-situ (cerapan di tapak) dan ex-situ (cerapan sampel di bawa ke makmal untuk diuji).

Katanya, kedua-dua kaedah ini perlu dijalankan serentak dan kit penggunaan alatan pengujian juga akan dikalibrasikan supaya mencapai piawaian pengujian.

"Kajian secara ex-situ lebih komprehensif kerana ia membabitkan pelbagai paramater yang menentukan tahap kualiti air sungai berbanding kajian secara in-situ.

"Bagaimanapun, in-situ akan membantu secara kualititatif pengecaman kualiti air di peringkat awal sebelum di bawa ke makmal untuk pengujian lanjut," katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, sebahagian besar bahan yang ditemui di lokasi persampelan termasuk bahan binaan, sampah perabot dan alatan plastik, bekas polisterina, botol, bekas berasaskan plastik selain tuala wanita atau bayi.

"Kami juga menemui tong simpanan sisa di beberapa lokasi tersembunyi daripada pengetahuan umum," katanya.

INISIATIF dilakukan komuniti untuk memulihkan sungai tercemar.
INISIATIF dilakukan komuniti untuk memulihkan sungai tercemar.

RKK atasi masalah pencemaran sungai

Kerajaan negeri akan memastikan Rancangan Kawasan Khas (RKK) yang membabitkan sungai di negeri ini dapat dilaksanakan dengan segera.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, RKK itu perlu dilaksana bagi mengatasi masalah pencemaran dan sampah-sarap di sungai negeri ini yang sudah berlarutan sekian lama.

Kata Hasni, pelaksanaan RKK itu dijangka dapat memastikan isu pencemaran sungai yang berpunca daripada penempatan setinggan di sepanjang sungai dapat ditangani secara berkesan.

"Kita ada RKK Sungai, antaranya Sungai Skudai membabitkan agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Badan Kawal Selia Air Johor (Bakaj) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

"Waktu ini, kita menunggu Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sahaja untuk melengkapkan pelan pemantauan Sungai Skudai ini.

"Kita di peringkat negeri akan memastikan peruntukan yang disediakan itu dapat mengatasi masalah yang dihadapi sungai yang diancam pencemaran. Ia turut membabitkan penduduk setinggan di sepanjang sungai ini, kami juga sudah ada pelan perancangan untuk mengatasi masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kerajaan negeri terhadap pencemaran sungai sehingga mendapat teguran dan kekesalan yang dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang melihat pemandangan Sungai Danga yang dicemari sampah sarap, akhir bulan lalu.

SWCorp fokus tangani pencemaran di kawasan terpencil serta pedalaman

Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menangani masalah longgokan sampah terutamanya di kawasan pedalaman dan terpencil yang mampu mengakibatkan pencemaran.

Pengarahnya, Cairul Hisham Jalaluddin berkata, usaha itu juga membabitkan pengesanan kawasan pelupusan sampah haram di tanah tidak bercukai sekitar bandar raya ini termasuk di kawasan sungai seperti Sungai Danga.

Kata beliau, peranan SWCorp lebih kepada tumpuan pengesanan lokasi sampah haram.

"Namun, jika ada makluman berhubung perkara itu, memang kita akan terus serbu. Untuk masalah di Sungai Danga dan sungai sekitar bandaraya ini, kita bekerjasama dengan PBT dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Untuk kawasan itu (Sungai Danga) sebenarnya, ia mempunyai pelbagai masalah lain, mereka buang di kawasan rizab sungai dan ada juga masalah kawasan tidak bercukai.

"Perkara ini perlu diatasi bersama berpandukan bidang kuasa masing-masing," katanya.

Menurut Cairul Hisham, sepanjang tahun ini, kira-kira RM300,000 kompaun dijatuhi oleh mahkamah kepada pihak tidak bertanggungjawab atas kesalahan membuang sampah secara haram di tapak yang tidak dibenarkan.

Kata beliau, SWCorp sudah mengenalpasti kira-kira 200 tempat pelupusan sampah haram di seluruh Johor.

"Daripada jumlah itu, hanya 50 hingga 60 lokasi sahaja yang berulang. Kita memang sentiasa aktif mengesan perkara ini dan tindakan penguatkuasaan dilakukan tanpa sebarang kompromi.

"Jumlah kompaun setakat ini sahaja memang dikenakan tinggi, sekurang-kurangnya RM20,000," katanya.

PELBAGAI jenis sampah hanyut tersangkut di ranting pokok bakau.
PELBAGAI jenis sampah hanyut tersangkut di ranting pokok bakau.

'Peti sejuk berbolak-balik dibawa arus'

Sungai Perling di sini kini umpama menjadi tapak pembuangan sampah yang terletak di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya ini.

Sungai yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai khazanah hidupan air terutama udang galah, ketam bangkang dan sembilang kini bertukar seolah-olah menjadi tong sampah besar yang berbau busuk dengan semua hidupan asalnya hampir pupus.

Sungai Perling antara sungai yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini namun berdepan nasib malang tidak berkesudahan akibat pencemaran sampah yang tidak pernah selesai sejak lebih 15 tahun lalu.

Ia senasib dengan Sungai Danga dan Sungai Skudai, yang terletak berhampiran sungai itu, yang terus terbeban dengan tindakan tidak bertanggungjawab penghuni kota.

Tinjauan Metro Ahad di Sungai Perling di kawasan jeti nelayan Tampoi Utama mendapati, longgokan pelbagai jenis sampah dalam jumlah yang besar berbolak-balik di bawa arus air sungai berkenaan.

Ia sekali gus menimbulkan rasa jijik kepada sesiapa yang melihatnya.

Timbunan sampah yang membentuk pulau kecil itu mengandungi pelbagai jenis sampah termasuk plastik, botol minuman, pembungkus makanan malah bantal selain pakaian, cebisan papan selain tunggul kayu besar.

Nelayan di Jeti Nelayan Tampoi Utama, Mohd Akrim Abu Bakar, 42, berkata, keadaan Sungai Perling yang dipenuhi sampah-sarap sudah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, nelayan kawasan berkenaan terpaksa keluar ke sungai yang lebih jauh terutama Sungai Pendas bagi mencari rezeki selepas hidupan air di Sungai Perling hampir pupus sejak kira-kira 15 tahun lalu.

"Inilah pemandangan biasa Sungai Perling yang dipenuhi sampah-sarap. Ada kalanya kita boleh nampak bantal, perabot malah peti sejuk yang dibuang hanyut berbolak-balik dibawa arus.

"Kalau air sungai surut, sampah sarap dapat dilihat memenuhi dasar sungai yang menjadi semakin kotor dan berlumpur," katanya ditemui.

Pencemaran sungai di bandar raya ini yang seolah-oleh tidak berkesudahan dan tiada penyelesaian sejak sekian lama, turut menerima teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Akhir bulan lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan bertitah kesal dengan pemandangan Sungai Danga di sini, yang dicemari dengan sampah-sarap.

Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook rasmi baginda dilaporkan bertitah supaya Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan, segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai di tengah bandar raya ini.

Sementara itu, Mohd Yazid Yahya, 56, yang juga nelayan di Jeti Nelayan Tampoi Utama berkata, nelayan di kawasan berkenaan juga sudah puas membantu mengutip sampah di kawasan tebing sungai berkenaan.

Namun, katanya, sampah sarap di sungai itu tidak pernah berkurangan malahan semakin bertambah dari sehari ke sehari.

"Sebelum ini, kerajaan negeri ada memberi insentif kepada nelayan sebanyak 20 sen bagi setiap sampah yang dikutip di sungai ini. Ia menyebabkan ramai nelayan mengutip sampah sebagai pendapatan sampingan.

"Namun dari sehari ke sehari, sampah semakin banyak malah semakin besar menyebabkan kebanyakan nelayan hilang ikhtiar dan keupayaan mengutip sampah yang bertambah.

"Jika hujan lebat, awak datanglah ke sini dan lihat sampah sarap dibawa longkang besar terus mengalir ke kawasan sungai," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Nelayan Jeti Tampoi Utama, Mohd Zali Nawar, 58, berkata, kipas enjin nelayan di situ juga kerap rosak akibat terlanggar sampah besar atau tersangkut plastik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 7:00 AM