GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Dua penghuni perempuan sebuah pusat jagaan di Lembah Jaya di sini, mendakwa didera dan dicabul penjaga lelaki dalam kejadian berasingan, minggu lalu.

Perkara itu terbongkar selepas remaja perempuan masing-masing berusia 13 dan 14 tahun itu menceritakan kejadian kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum dibawa membuat laporan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, berdasarkan laporan kejadian pertama berlaku pada 1 pagi, 20 Oktober lalu.

"Pelajar Tingkatan Satu mendakwa ditarik seorang lelaki yang juga sukarelawan pusat jagaan itu ke sebuah bilik butik.

"Ketika berada di bilik itu, suspek bertindak mencabul dan cuba merogol mangsa. Namun kejadian disedari rakan suspek yang bertindak menghalang tindakan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Azam berkata, kes kedua berlaku pada 4 petang, 22 Oktober lalu membabitkan pelajar perempuan Tingkatan Dua yang mendakwa dimarahi seorang penjaga pusat jagaan yang juga lelaki warga asing ketika berada di dalam bilik.

Beliau berkata, mangsa memberitahu dipukul suspek menggunakan kayu di bahagian paha selain turut ditampar.

"Mangsa mendakwa dipukul kerana menggunakan telefon bimbit di dalam bilik," katanya.

Bertindak atas laporan itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menahan kedua-dua suspek berusia 27 tahun pada 5 petang semalam.

"Semakan mendapati suspek pertama tidak mempunyai rekod lampau manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah lampau.

"Pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa yang dipukul ada kesan lebam di bahagian paha dan betis kiri serta kesan bengkak di pipi kiri manakala mangsa kedua tiada kesan kecederaan," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 5:31 PM