GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Marahkan isteri, dua anak jadi mangsa. Itu perbuatan dilakukan seorang lelaki berusia 40 tahun yang dipercayai menumbuk dan menampar dua anaknya berusia tiga tahun serta 11 tahun selepas isteri meminta pasport.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada wanita berusia 37 tahun itu pada Rabu lalu.

Beliau berkata, suri rumah itu mendakwa berselisih faham dengan suaminya semasa berada di rumah di Taman Cheras Indah, di sini, pada jam 11.45 pagi.

"Pengadu meminta pasport miliknya dan anak mereka daripada suami selain bertanya kasut milik siapa yang berada di pejabat suaminya itu.

"Lelaki itu berang lalu terus menumbuk muka anak perempuan berusia 11 tahun sebanyak dua kali.

"Malah, sebelum kejadian itu, suaminya didakwa pernah menampar muka anak lelaki berusia tiga tahun sehingga meninggalkan kesan lebam. Pengadu turut diugut oleh suaminya kerana mahu membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menahan suspek di sebuah premis di Kampung Pandan Indah di sini, pada 6.45 petang kelmarin.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan negatif ujian saringan air kencing.

Selain itu, katanya, dua anak mangsa kini menerima rawatan di Hospital Ampang dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati anak perempuan mengalami kecederaan lebam di pipi kiri manakala anak lelaki mengalami kecederaan pada mata.

Kata beliau, suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 7 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2023 @ 2:47 PM