GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Kontraktor berusia 63 tahun kerugian RM571,000 selepas terpedaya dengan tawaran gelaran Datuk Seri.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang pada pertengahan Februari lalu.

Katanya, suspek menawarkan anugerah kebesaran negeri Pahang dengan membawa gelaran Datuk Seri.

"Suspek menyatakan mempunyai enam kuota anugerah kebesaran terbabit dan mangsa dimaklumkan perlu membuat sumbangan bagi program istana.

"Mangsa berminat dengan tawaran dinyatakan dan turut mempelawa empat kenalan untuk mendapatkan gelaran itu.

"Bermula Februari lalu hingga bulan ini, suspek meminta mangsa melaksanakan beberapa sumbangan untuk program dibuat pihak Istana Negeri Pahang," katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, sebanyak 32 transaksi dilakukan kepada lima akaun bank yang berbeza berjumlah RM571,000.

"Sumber kewangan terbabit adalah hasil daripada kutipan dan wang simpanan mangsa dan rakan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes terbabit, beliau menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Orang ramai juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2023 @ 3:03 PM