Paya Linda Yahya


Gua Musang: Lebih 3,000 penduduk di Kampung Jerek, di sini, akhirnya menarik nafas lega apabila seekor beruang yang bersarang berhampiran rumah penduduk akhir berjaya ditangkap, semalam.

Beruang matahari dewasa itu dipercayai membuat sarang diatas pokok rambutan berhampiran rumah penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan kepada mereka.

Menurut penduduk, Mohd Fahmi Aziz Matsin, 25, berkata, kira-kira 8.30 malam selepas menunaikan solat Isyak dia mendengar bunyi yang kuat seperti kenderaan kemalangan di belakang rumahnya.

Katanya, dia menjenguk ke luar rumah dan mendapati pintu perangkap beruang yang terletak di belakang rumah sudah tertutup.

"Saya terus maklumkan kepada pekerja Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang tinggal di kampung ini, beruang sudah masuk perangkap.

"Ketika mula-mula terkena perangkap beruang mengaum dan meronta-ronta di dalam perangkap," katanya ketika ditemui di Kampung Jerek, di sini, hari ini.

Menurut Sabariah Mohamed Sayuti, 43, pula berkata, dia bersyukur akhirnya beruang yang berkeliaran sejak dua bulan lalu di kampung itu berjaya ditangkap.

"Alhamdulillah, Akhirnya kami penduduk di sini dapat menarik nafas lega apabila haiwan liar terbabit berjaya ditangkap," katanya.

Sementara itu, Pengarah (Perhilitan) Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata operasi menangkap beruang terbabit sudah bermula sejak 14 Ogos lalu dengan memasang perangkap berhampiran sekolah.

"Difahamkan ada lagi dua ekor di kawasan ini. Saya nasihat kepada orang kampung supaya tidak memberanikan diri mendekati haiwan liar ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan kemunculan tiga beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Jerek di sini, membimbangkan lebih 3,000 penduduk di kawasan itu, sejak dua bulan lalu.

ANGGOTA Perhilitan melakukan operasi pemindahan beruang matahari di Kampung Jerek. FOTO Paya Linda Yahya
ANGGOTA Perhilitan melakukan operasi pemindahan beruang matahari di Kampung Jerek. FOTO Paya Linda Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 2:20 PM