ANGGOTA Perhilitan dan penduduk berusaha memindah seekor Beruang Matahari yang berjaya ditangkap di Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan.
ANGGOTA Perhilitan dan penduduk berusaha memindah seekor Beruang Matahari yang berjaya ditangkap di Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

SEEKOR beruang yang kerap mengganggu penduduk Kampung Sungai Sok, Kuala Krai, Kelantan, akhirnya berjaya ditangkap selepas usaha dilakukan sejak hampir seminggu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kejayaan menangkap beruang madu itu adalah susulan tindakan anggota Perhilitan Daerah Kuala Krai yang memasang perangkap.

“Ia susulan aduan gangguan haiwan liar diterima Perhilitan pada 23 Februari lalu,” katanya.

Menurutnya, jerat perangkap dipasang akhirnya berjaya apabila seekor beruang mahu didapati memasuki perangkap itu pada jam 5.30 pagi Khamis lalu.

“Anggota Perhilitan kemudian segera ke lokasi dan pemerhatian awal mendapati terdapat kecederaan pada bahagian mulut beruang itu.

“Susulan itu penduduk kampung Sungai Sok, Kuala Krai diarah supaya tidak mendekati perangkap itu.

“Operasi pemindahan kemudian dilakukan anggota Perhilitan Kuala Krai dan Perhilitan Gua Musang dengan dibantu penduduk kampung bagi mengangkat perangkap besi itu,” katanya.

Menurutnya, perangkap beruang itu kemudian berjaya dinaikkan ke atas pacuan empat roda pada jam 2 petang sebelum ubah suai perangkap menggunakan papan lapis dilakukan.

“Beruang itu kemudian dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Perhilitan terletak di Sungkai, Perak.

“Beruang itu berjaya dipindahkan ke tempat kuarantin sekitar jam 3 pagi bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya. Beruang Matahari (Helarctos malayanus) juga dikenali sebagai Beruang Madu adalah spesies beruang yang paling kecil,” katanya.

Pada 20 Disember lalu, seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang seekor beruang di kawasan hutan Kampung Sempadik, Pos Belatim, Gua Musang, Kelantan.

Dalam kejadian pukul 12 tengahari 19 Disember lalu, Husin Dollah, 35, diserang beruang matahari ketika berada di hutan itu untuk mencari buah-buahan bersama rakannya, Asem Along, 32.

Husin mengalami kecederaan akibat dicakar beruang di bahagian kepala, mata, tangan kiri dan kaki kanan.

Bagaimanapun, rakannya berjaya menyelamatkan diri dan menghalau beruang itu sebelum membawa keluar mangsa dari kawasan hutan bagi mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:45 PM