Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Diarah bersembunyi dan berkurung selain mengikat diri sendiri seolah-olah diculik. Itu arahan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis terhadap seorang remaja lelaki yang menjadi mangsa penipuan mereka.

Remaja berusia 18 tahun itu turut diminta untuk tidak berhubung dengan ahli keluarga selepas melakukan beberapa transaksi bernilai RM283,000.

Bagaimanapun perkara itu terbongkar apabila ibunya menerima panggilan telefon dari seorang individu mengatakan anaknya diculik.

Pada mulanya, wanita berkenaan dihubungi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali pada Selasa lalu meminta wang tebusan sebanyak RM300,000 untuk pembebasan anaknya.

Wanita itu kemudiannya cuba menghubungi anaknya tetapi gagal menyebabkan dia kemudiannya membuat laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesan mangsa di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, remaja lelaki berkenaan bersembunyi di rumah berkenaan selepas dia diminta melakukan transaksi bernilai RM283,000 ke dalam beberapa akaun oleh sindiket penipuan.

Katanya, semua wang berkenaan dipindah remaja lelaki menerusi tiga transaksi selepas menerima dia menerima panggilan telefon dari seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai di Pos Laju Malaysia.

"Lelaki berkenaan menyatakan ada bungkusan milik mangsa yang menyalahi undang-undang sebelum dia diarahkan bercakap dengan seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai kanan polis.

"Remaja lelaki berkenaan dituduh oleh individu berkenaan bahawa dia terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram dan kegiatan pengedaran dadah," katanya pada sidang media, hari ini.

Tidak terhenti setakat itu, kata Mohd Shuhaily, mangsa kemudiannya diarahkan untuk bercakap dengan seorang lagi lelaki yang menyamar pegawai atas polis untuk membuat rayuan.

Katanya, mangsa yang terpedaya diarahkan untuk membayar sejumlah wang menerusi akaun bank yang diberikan suspek.

"Remaja berkenaan pada mulanya memasukkan RM80,000 pada 30 September lalu sebelum memasukkan sekali lagi sejumlah RM80,000 pada keesokannya di beberapa akaun.

"Pada 2 Oktober, remaja itu sekali lagi melakukan pindahan wang sebanyak RM80,000 dan kali terakhir RM43,000 dan menjadikan RM283,000 dimasukkan oleh remaja berkenaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga diarahkan oleh suspek untuk menyembunyikan diri dan dilarang berhubung dengan sesiapa termasuk ahli keluarganya.

"Dalam tempoh mangsa menyembunyikan diri, suspek turut menghubungi ahli keluarga mangsa dan mendakwa mangsa diculik bagi meminta wang tebusan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya kemudian berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 20-an sehingga 30-an di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, kedua-dua tangkapan direman sehingga 14 Oktober ini bagi siasatan lanjut.

"Orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon diterima daripada mana-mana individu atau agensi kerajaan," katanya.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 6:29 PM