Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Suami, isteri dan anak lelaki antara yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan penculikan seorang tukang tilik di Bukit Mertajam di sini.

Mangsa, lelaki berusia 24 tahun itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Padang Serai, Kulim, Kedah oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang dengan kerjasama Bukit Aman, sekitar jam 2 pagi, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, terdahulu pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan, mendakwa anak rakannya itu diculik.

Katanya, suspek turut menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang sejumlah RM700,000 bagi membebaskan mangsa atau lelaki berkenaan akan dibunuh sekiranya pembayaran tidak dibuat.

"Beberapa siri serbuan dijalankan di beberapa lokasi sekitar kawasan Bukit Mertajam dan Kulim, berjaya menahan seramai tujuh lelaki dan dua wanita tempatan serta 11 lelaki warga asing tanpa izin (Pati) berusia 24 hingga 60 tahun.

"Mangsa dalam keadaan masih dirantai di bahagian kaki ketika diselamatkan di sebuah rumah di Kulim dan lelaki itu hanya mengalami kecederaan ringan akibat dipukul di bahagian kaki serta belakang badan.

"Kesemua yang ditahan direman selama empat hari sehingga 13 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.

MOHD Shuhaily menunjukkan barang yang dirampas. FOTO Mikail Ong.
MOHD Shuhaily menunjukkan barang yang dirampas. FOTO Mikail Ong.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah 17 telefon bimbit pelbagai jenama, buku bank, slip bank, gulungan tali berwarna oren, gunting, cota, rantai dan batang besi, dua buah kereta, wang tunai berjumlah RM2,085 dan mata wang asing.

Mengulas lanjut Mohd Shuhaily berkata, mangsa adalah tukang tilik yang masuk ke negara ini pada 2020 lalu bagi mencari peluang perniagaan.

Katanya, keluarga mangsa berada di negara asal dan difahamkan mereka sudah melakukan pembayaran pendahuluan menerusi beberapa transaksi.

"Dalam kalangan suspek yang ditahan adalah terdiri daripada pasangan suami isteri dan anak lelaki, yang tidak mempunyai hubungan namun mengenali mangsa.

"Suami adalah pesara dan isteri dan anak lelaki masih bekerja di sebuah syarikat.

"Polis masih menyiasat dan dipercayai ia mungkin berunsurkan penipuan yang berkaitan dengan penculikan.

"Kita sudah cukup selesa mengatakan kes sudah selesai dan siasatannya dikemaskini kerana membabitkan warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 3:57 PM