GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Asrol Awang


Kuantan: Seorang penyelia jururawat kerugian RM387,035 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan secara dalam talian,

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 46 tahun yang bekerja di luar negara itu menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan kerja sambilan terbabit pada 11 September lalu.

Menurutnya, dengan hanya menekan butang suka di aplikasi Instagram yang diberikan, mangsa ditawarkan komisen sebanyak RM5 bagi setiap tugasan.

"Selepas berjaya menyelesaikan lima tugasan, mangsa menerima wang komisen sebanyak RM25.

"Mangsa kemudiannya ditawarkan satu tugasan prabayar dengan membuat pembayaran dan menerima keuntungan yang lebih tinggi.

"Mangsa hanya tersedar selepas membuat sebanyak 36 transaksi berjumlah RM387,035 kepada 21 akaun dalam tempoh 13 hari mulai pada 11 September lalu.

"Siasatan mendapati mangsa menggunakan wang simpanan sendiri, pinjaman rakan dan ahli keluarga untuk semua transaksi yang dibuat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kes terbabit, beliau menasihati masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 2:59 PM