GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Gangguan seksual berbentuk perkataan atau sentuhan dalam masyarakat di negara ini perlu dihentikan kerana ia antara perlakuan awal yang menjurus kepada jenayah seksual lebih berat.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu, berkata tiada ruang wajar diberikan kepada gangguan seksual sama ada secara terang-terangan atau jenaka.

Katanya, ini kerana gangguan seksual adalah jenayah yang memberi kesan buruk kepada mangsa dan organisasi.

"Cabaran utama dalam menangani gangguan seksual ialah usaha memberi kefahaman kepada masyarakat serta mendidik tenaga kerja di semua peringkat kerja di organisasi mengenai gangguan seksual itu sendiri.

"Sesetengah pelaku mungkin menganggap tindakan mereka sebagai jenaka yang tidak berbahaya atau salah faham.

"Akibatnya mangsa bukan sahaja terdedah kepada gangguan mental, malah kesan negatif lain termasuk trauma dan ketakutan berpanjangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah mengambil langkah signifikan melalui penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022(Akta 840), sebagai suatu akta khusus untuk membendung kesalahan gangguan seksual agar tidak terus dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Katanya, akta itu digubal sebagai satu manifestasi penting bahawa kesalahan gangguan seksual adalah pelanggaran kepada hak asasi manusia dan wajib dihentikan.

"Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan terdapat 477 kes gangguan seksual dilaporkan pada 2022 dengan 23 kes daripadanya dilaporkan di Kedah. Walaupun jumlah kes ini dilihat kecil, tapi kesannya tidak boleh diambil mudah.

"Selain itu, berdasarkan laporan UNICEF Malaysia pada 2021, sekurang kurangnya empat peratus daripada kanak-kanak yang berumur 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet mengalami ancaman eksploitasi dan penderaan seksual yang jelas dalam talian.

"Ini termasuk diperas ugut untuk terbabit dalam aktiviti seksual, imej seksual mereka dikongsi tanpa kebenaran, atau dipaksa untuk melakukan aktiviti seksual melalui janji wang atau hadiah," katanya.

Beliau berkata, gangguan seksual boleh terjadi di mana-mana sahaja, dalam apa jua bentuk tanpa mengira jantina, usia, kaum ataupun agama termasuklah kepada golongan tidak berdaya seperti kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 5:09 PM