GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd menaikkan harga 30 jenis roti miliknya. FOTO BERNAMA
GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd menaikkan harga 30 jenis roti miliknya. FOTO BERNAMA
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung kenaikan harga 30 jenis roti miliknya bermula semalam.

Gardenia menerusi kenyataannya berkata, pihaknya akan menyediakan semua maklumat yang diminta oleh KPDN berkenaan kenaikan harga produk itu.

"Gardenia menghargai peranan yang dimainkan oleh KPDN dalam memantau harga produk-produknya.

"Kami akan memberi kerjasama sepenuhnya dan akan menyediakan semua maklumat yang diminta oleh pihak KPDN berkenaan dengan kenaikan harga produk-produk kami," katanya.

Gardenia KL sebelum ini mengesahkan 30 produk mereka mengalami kenaikan harga antara 10 dan 40 sen, selepas menyemak semula harga bagi produk terpilih.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh kemudiannya berkata, pihak kementerian sudah mengeluarkan notis meminta Gardenia KL memberikan penjelasan berhubung kenaikan harga 30 jenis roti miliknya.

Fuziah berkata, syarikat berkenaan perlu menjawab notis yang dikeluarkan pada 27 September itu, sebagai sebahagian daripada usaha pihaknya bagi mengelak berlakunya kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga boleh membebankan rakyat.

#kw Kuala Lumpur, Gardenia KL, roti, kenaikan, harga

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 4:43 PM