SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyeru ahli-ahli politik contohi Rasulullah. FOTO IHSAN SELANGOR ROYAL OFFICE
SULTAN Sharafuddin Idris Shah menyeru ahli-ahli politik contohi Rasulullah. FOTO IHSAN SELANGOR ROYAL OFFICE
Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru agar akhlak mulia dan kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyatupadukan umat dijadikan contoh oleh ahli-ahli politik.

Menerusi titah perutusan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah yang dikongsikan di Facebook Selangor Royal Office, baginda Sultan Selangor menyeru agar ahli politik bersatu padu dan menyokong penuh usaha kerajaan mengatasi masalah penularan wabak Covid-19.

Menurut titah perutusan itu, rakyat sedang berhadapan dengan kemelut ekonomi yang merudum akibat wabak Covid-19, justeru baginda mahu ahli-ahli politik bersatu dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik demi memastikan rakyat terus hidup aman damai, makmur dan harmoni.

Titah baginda lagi, perpaduan, kestabilan dan kesejahteraan adalah amat penting untuk meneruskan agenda pembangunan, membina kekuatan dan mendaulatkan negara.

"Oleh itu, sempena sambutan Maulidur Rasul kali ini, baginda menyeru umat Islam supaya terus menghayati dan menghidupkan dua peninggalan Rasulullah SAW iaitu al-Quran dan as-Sunnah dalam kehidupan harian," jelas titah berkenaan.

Menerusi titah berkenaan, Sultan Selangor turut berkenan mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul tahun 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya di negeri Selangor.

Baginda bertitah agar sekalian rakyat menghayati dan mengamalkan ajaran Islam sepertimana yang diajar dan dibimbing oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Baginda Rasullah SAW adalah seorang insan mulia dan agung yang dianugerahkan Allah SWT kepada umat manusia di muka bumi ini.

"Baginda adalah seorang Khalifah kepada sekalian umat yang mengajar manusia tentang persaudaraan, akhlak yang mulia serta erti kehidupan yang sebenarnya," jelas titah itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2020 @ 1:05 PM